Timbalan menteri beri amaran mahu lempang Cina Malaysia
Tajuddin beri amaran mahu lempang Cina Malaysia
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini memberi amaran akan "melempang" rakyat Cina di negara ini jika mengadu masalah kepada pihak luar.
"Saya nak bagi amaran juga kepada Cina Malaysia jangan ingat bila ada masalah dia nak mengadu, sikit-sikit mengadu supaya ada yang lindungi mereka.
"Nak kena lempang macam itu," kata Tajuddin dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2015 di bangunan Matrade, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Malah, anggota Majlis Tertinggi Umno itu meminta rakyat Cina di negara ini berhenti "berangan" bahawa ada pihak luar yang akan membela nasib mereka.
"Orang Cina yang ada di Malaysia jangan beranganlah bila ada "big boss" datang, ada "God Father" datang dari negara China sebab nak tolong dia.
"Jangan berangan begitu," katanya yang juga anggota Parlimen Pasir Salak.
Menurut Tajuddin lagi, kehadiran Duta Besar China Huang Huikang ke Malaysia hanya untuk melindungi rakyat negaranya yang melancong di Malaysia.
"Dia kata nak lindungi rakyat dia bukan Cina Malaysia, buat apa nak campur tangan. Saya pun marah kalau dia campur tangan.
"Duta China kata kenyataan dia telah digembar-gemburkan, dia tidak ada niat campur tangan dalam hal ehwal negara kita, tak ada niat nak membela orang Cina di sini," kata Tajuddin.
Huang semalam mengingatkan bahawa lawatannya ke Jalan Petaling Jumaat lalu tidak harus dijadikan sebagai satu isu anti kerajaan Malaysia.
Huang mengulangi kunjungannya sebagai lawatan muhibah dan untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang kebimbangan keselamatan, sebelum membuat keputusan sama ada akan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada pelancong dari China.
No comments:
Post a Comment