Najib kemuka bantahan terhadap artikel digunakan Harakah
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan kemuka bantahan terhadap 20 artikel lain digunakan Harakah dan Harakahdaily dalam kes saman beliau terhadap kedua-dua pihak berhubung isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Gambar fail The Malaysian Insider.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata mahkamah memerintahkan pihaknya supaya memaklumkan mengenai bantahan itu kepada peguam mewakili Harakah dan Harakahdaily sebelum 21 Disember ini.
"Beliau (hakim) memberikan kami 2 minggu untuk menulis kepada mereka berhubung bantahan terhadap ketidakrelevanan artikel berkenaan," katanya kepada pemberita selepas bertemu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng di dalam kamarnya di Kuala Lumpur.
Sementara itu, peguam Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Harakah dan Harakahdaily, memaklumkan pihaknya akan meminta peguam mewakili Najib supaya mengenal pasti artikel berkenaan.
Artikel itu berkaitan isu 1MDB yang diterbitkan di laman portal dan juga blog.
Najib memfailkan saman pada 18 Mac tahun ini dengan menamakan Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Harakahdaily Taufek Yahya, sebagai defendan.
Saman itu membabitkan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Februari berkaitan isu dana 1MDB.
Menerusi pernyataan tuntutan, Najib berkata artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang menggambarkan beliau menyalah guna dana 1MDB.
Oleh itu, katanya, penerbitan artikel itu menjejaskan reputasinya dan mengakibatkan beliau dikecam dalam media sosial dan media massa.
Najib turut mendakwa Taufek gagal mengamalkan 'kewartawanan bertanggungjawab' dengan tidak mengesahkan kebenaran perkataan yang ditulisnya sebelum menerbitkan artikel itu.
Perdana menteri mendakwa defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu bagi meneruskan agenda tersendiri untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya.
Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta injunksi untuk menghalang defendan atau pembantu mereka daripada menerbitkan semula artikel berkenaan. – Bernama, 7 Disember, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-kemuka-bantahan-terhadap-artikel-digunakan-harakah#sthash.Af5D2XNU.dpuf
No comments:
Post a Comment