Pages

Tuesday, 22 December 2015

Dewan Negara luluskan RUU Majlis Keselamatan Negara.

Eabu, 23 Disember 2015
Dewan Negara luluskan RUU Majlis Keselamatan Negara
OLEH DIYANA IBRAHIM
Dengan undian majoriti menyokong, rang undang- undang itu‎ memberikan kuasa kepada anggota MKN yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan penahanan mana-mana individu tanpa waran apabila sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika penggulungan bacaan RUU itu berkata, kerajaan bersedia menerima kritikan orang ramai yang memberi pandangan secara tafsiran dan ilmiah dan ianya wajar dibetulkan.

"Setelah ambil kira saya memberi pengakuan kerajaan akan mempertimbangkan sebaik- baiknya.
"Sekiranya ada kelemahan kerajaan akan kemukakan pindaan akta ini dalam sesi Parlimen akan datang," katanya Shahidan ketika menggulung RUU MKN di Dewan Negara hari ini.

RUU MKN dibahaskan selama 2 hari di Dewan Negara membabitkan penyertaan 36 senator  termasuk dari pihak pembangkang.

Bagaimanapun tidak seperti ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), ahli Dewan Negara daripada gabungan pemerintah itu ketika membahaskannya membuat kejutan apabila rata-ratanya bersikap kritikal terhadap MKN dengan meminta kerajaan memperhalusi semula dan mengambil kira cadangan mereka.

Rata-rata senator BN mempertikaikan dan meminta kerajaan memperhalusi semula peruntukkan rang undang-undang itu dan di antaranya memberi kuasa terlalu luas kepada pengarah operasi, pengisytiharan darurat yang hanya dilakukan Yang di-Pertuan Agong.

Shahidan memulakan penggulungan memberi peringatan kepada ahli Dewan Negara rang undang-undang ini amat penting untuk diluluskan supaya dapat mencegah insiden pengganas mengambil contoh kejadian di Lahad Datu dan Bernard Then.

"Walaupun membuat pelbagai cadangan mungkin tidak menyokong sekarang  ini, namun kena ingat masalah keselamatan bukan berada jauh tapi berada di pintu rumah kita.

"Jangan kita berlaku zalim kepada orang lain dengan tidak menyokong rang undang-undang untuk mencegah keganasan.

"Kita kena ingat kita terpengaruh dengan beberapa pihak luar sana untuk menentang rang undang-undang.

"Tetapi saya tidak pernah dengar daripada pihak sama mengucap takziah berhubung insiden Lahad Datu dan Bernand Then.

"Kita pertikaikan hingga lupa jenayah tidak menunggu  RUU siap ia datang bila-bila, sediakan payung sebelum hujan demikian juga dengan situasi ini," katanya.

Shahidan membuat penggulungan rang undang-undang itu tanpa menyatakan pindaan yang menyebabkan Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mengingatkan semula kepadanya akan janji mengenai pindaan dan  memastikan komitmen yang bakal diberikan ketika sidang itu berakhir.

Sementara itu, Presiden Majlis Senator Malaysia Tan Sri Rahim Abdul Rahman mengambil kesempatan menjelaskan dakwaan yang kononnya senator BN berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung rang undang-undang tersebut.

Beliau yang menafikan berlakunya pertemuan dengan perdana menteri berkata, segala kritikan dan pandangan yang dibangkitkan senator adalah datangnya dari hati dan mewakili kebimbangan rakyat.

"Ingin saya jelaskan tidak ada pertemuan bersama perdana menteri bersama senator BN.

"Pertemuan yang ada yang pernah kita hadiri adalah taklimat MKN pada minggu lepas itu sahaja," katanya. – 22 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dewan-negara-luluskan-ruu-majlis-keselamatan-negara#sthash.bqrpBXEp.dpuf

No comments:

Post a Comment