Buktikan RM2.6b bukan dari 1MDB, cabar Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut bukti bahawa RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukannya datang daripada dana 1MDB.
"Awak kata SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sahkan bahawa RM2.6 bilion bukannya dari 1MDB.
"Jabatan kerajaan dan kakitangan awam kini tertekan. Mereka boleh dipecat atau dipindahkan. Seorang DPP (timbalan pendakwa raya) dibuang kerja.
"Orang ramai yang membuat laporan ditangkap. Peguam mereka juga ditangkap. Orang yang terancam tidak boleh dipercayai apabila mereka membuat kenyataan," kata bekas perdana menteri itu dalam blognya hari ini.
Oleh itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan pegawai SPRM berkenaan tidak dapat diterima.
"Kita mahu bukti. Kita mahu tahu bagaimana RM2.6 bilion di akaun PM bukannya dari 1MDB.
"Kita mahu tahu di mana semua RM42 bilion (hutang 1MDB) berada. Penjelasan awak adalah tanpa bukti," katanya.
Najib dan penyokongnya sebelum ini berkata, dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaunnya pilihan raya umum lalu adalah sumbangan politik dari sumber di Timur Tengah.
Mahathir berkata demikian ketika mengulas penjelasan oleh 1MDB yang jelas gagal meyakinkan bekas perdana menteri itu.
"Terima kasih kerana menjelaskan mengenai isu-isu yang dibangkitkan. Memandangkan anda terlepas banyak perkara dalam kenyataan awal, saya terpaksa membuat andaian tertentu dan meminta penjelasan.
"Sekarang, sila jelaskan mengapa anda masih mengelirukan pembaca di blog saya dan orang lain," katanya.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment