Published: 7 January 2016 2:53 PM
Lim Guan Eng turut menyelar PAS bersifat hipokrit apabila mengaitkan DAP dengan Israel. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 7 Januari, 2016.
Katanya, beliau tidak faham bagaimana Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki boleh mengaitkan DAP dengan Israel dengan mendakwa DAP ditawarkan RM1.2 bilion daripada Israel sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Zuhdi mendakwa, antara syarat tawaran berkenaan termasuk membenarkan pembukaan pangkalan tentera Israel di negara ini, jika DAP dapat menawan Putrajaya.
“Ini adalah kenyataan fitnah daripada PAS. Mereka memetik dakwaan dibuat Mohamad Razali Abdul Rahman, yang dikatakan bekas pegawai khas saya. Razali ini tidak pernah bekerja untuk saya.
“Saya tidak pernah bertemu mana-mana pemimpin Israel di Singapura atau di mana-mana. DAP juga tidak pernah ditawarkan RM1.2 bilion. Itu pembohongan. Mereka patut tunjuk saja bukti,” katanya kepada wartawan selepas majlis angkat sumpah ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang pagi ini.
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang turut menyelar PAS bersifat hipokrit apabila mengaitkan DAP dengan Israel.
Beliau bertanya mengapa PAS tidak menjadikan sebagai isu apabila ada individu bersalaman dengan pemimpin Israel.
Beliau tidak menyebut nama sesiapa tetapi sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan bersalaman dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ketika saling bertembung pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York tahun lalu.
“Itu tidak pula dijadikan isu. Adakah derma RM2.6 bilion yang Najib terima dalam akaun bank peribadinya juga bukan isu kepada PAS?
“Mereka sengaja mencetuskan kebencian terhadap pemimpin bukan Islam, sama seperti apa yang Umno lakukan selama ini,” katanya.
Katanya, beliau sudah memaklumkan peguamnya untuk mengambil tindakan atas tuduhan PAS terhadap DAP dan juga media arus perdana yang membuat tuduhan serupa. – 7 Januari, 2016.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sila-buktikan-hubungan-dap-dengan-israel-kata-guan-eng#sthash.k3X1osLs.dpuf
No comments:
Post a Comment