Pages

Friday, 8 January 2016

Penutupan kaunter tunai tol menjerut rakyat..."Touch N Go satu lagi bala melanda rakyat!"

Jumaat, 8 Januari 2016

Penutupan kaunter tunai tol menjerut rakyat

January 7, 2016
Suka atau tidak, pengguna terpaksa menggunakan lebuhraya lantaran kad prabayar masing-masing telah atau perlu ditambahnilai
tol
Oleh Ronasina
Melangkah sahaja tahun baharu 2016 bererti sebuah bala lagi melanda rakyat sebagai pengguna aktif lebuhraya apabila hampir semua plaza tol menutup kaunter tunai dan menggantikan sepenuhnya semua kaunter dengan sistem kad prabayar ‘Touch N Go’.
Sebelum itu suku tahun terakhir 2015 menyaksikan kenaikan kadar tol ‘menggila’ sehingga mencapai 80%.
Alasan biasa sebab tutupnya kaunter tunai adalah untuk menambahkan lagi kecekapan operasi dan melalui sistem kad prabayar sepenuhnya pasti akan berjaya mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
Ternyata alasan ini gagal malah masalah kesesakan jalanraya makin bertambah parah terutamanya di plaza tol itu sendiri.
Sebenarnya sistem kad prabayar ini adalah satu bentuk paksaan dan tekanan yang dikenakan ke atas pengguna lebuhraya. Secara tidak sedar kita khususnya pengguna lebuhraya telah membuka buku ‘akaun hutang’ dengan syarikat-syarikat konsesi tol ini.
Bayangkan sejuta pengguna lebuhraya membeli kad prabayar dengan kadar RM10 untuk minggu pertama, sudah tentu RM10 juta sudah berada di dalam akaun syarikat konsesi. Dan setiap minggu pengguna lebuhraya ini akan membuat tambahnilai.
Sistem ini secara psikologinya mengikat mentaliti pengguna lebuhraya untuk tidak mencari jalan alternatif kerana mereka berfikir yang mereka sudah ada akaun dengan lebuhraya berbayar. Jadi hendak tak hendak mesti guna kerana wang sudah dibayar.
Paling malang adalah pengguna lebuhraya di luar Lembah Klang. Contohnya pemandu dari Pahang yang mempunyai urusan sehari di Kuala Lumpur terpaksa membeli kad Touch N Go di Lebuhraya Karak dengan kadar tertentu. Setelah selesai urusan dan pulang semula ke Pahang dia memiliki sekeping kad yang menjadi liabiliti kepadanya dengan baki yang masih ada di dalam dan tidak digunakan.
Ada pandangan mengesyorkan kita melakukan tambahnilai menggunakan kad pengenalan kerana kad pengenalan kita menyediakan akses Touch N Go. Apakah sampai begitu sekali kita mesti ‘Check In’ menggunakan kad pengenalan apabila melekapkannya di mesin imbas kaunter tol? Selesakah kita merakamkan identiti kita ke mana-mana destinasi?
Kenaikan tol dan penutupan kaunter tunai ini sangat jelas merupakan suatu peraturan yang berbentuk paksaan. Sedihnya isu ini tidak disuarakan dengan bersungguh oleh ahli Parlimen kita di Dewan Rakyat.
Pakatan Rakyat pernah mengambil sikap akan menghapuskan semua tol jika mereka berjaya memerintah. Kerajaan Barisan Nasional pula tidak bersetuju kerana jika tol ditutup ramai pekerja hilang mata pencarian.
Hari ini apa yang dipertahankan kedua pihak telah berlaku. Tol makin naik dan tenaga pekerja di kaunter tunai tol telah diambilalih oleh robot dan mesin.
Mungkin kenaikan gaji serta elaun ahli Parlimen yang cukup banyak pada tahun 2016 ini membuat mereka selesa dan tidak sedar beban yang ditanggungi oleh rakyat yang memilih mereka pada pilihanraya umum yang lalu semakin berat.
Rakyat semakin terhimpit dan kebebasan memilih sudah semakin tertutup.
Jika ada kebaikan pada sistem kad prabayar di plaza tol ini sekalipun, adalah amat tidak wajar ditutup terus kaunter tunai. Mungkin ada maksud baik di sebalik penukaran sistem ini tetapi seperti kata Allahyarham WS Rendra melalui bait puisinya, “Saudara punya maksud baik tetapi maksud baik saudara untuk siapa?”
Dalam membuat keuntungan sesebuah perniagaan, janganlah terlalu menekan. Berilah kemudahan dan juga hak kepada rakyat untuk membuat pilihan.
@ronasina merupakan pelukis/ penulis/ aktivis dan pengasas kempen Hope2Walk kesedaran tentang Cerebral Palsy.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

No comments:

Post a Comment