Pages

Friday, 5 February 2016

AMANAH tuntut TH dedah sumber pembayaran dividen dan bonus kepada pendeposit.

Jumaat, 5 Februari 2016

Tabung Haji bayar dividen guna keuntungan atau rizab, soal Amanah

Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut Lembaga Tabung Haji mendedahkan sumber pembayaran dividen dan bonus kepada pendeposit bagi tahun 2015, menegaskan ia tidak seharusnya dibuat menggunakan rizab tabung itu yang disahkan Bank Negara Malaysia sebagai negatif.

Naib Pengerusi Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Tabung Haji perlu meyakinkan masyarakat yang dividen itu dibayar berdasarkan keuntungan, dan bukannya rizab. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Februari, 2016.

Naib Pengerusi Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Tabung Haji perlu meyakinkan masyarakat yang dividen itu dibayar berdasarkan keuntungan, dan bukannya rizab.

"Soalan yang lebih asas tidak terjawab. Iaitu, bagaimana bonus dikeluarkan dalam keadaan mereka membayar dividen lebih daripada keuntungan yang mereka perolehi?

"Kami minta Tabung Haji telus memberikan kaedah dividen itu," katanya kepada The Malaysian Insider mengulas bonus tahunan 5% dan bonus haji 3% bagi 2015 diumumkan terdahulu hari ini.

Mujahid berkata, Tabung Haji perlu meyakinkan pendeposit, dividen yang diberi layak didapati dan dibuat berasaskan keuntungan.

"Kalau Tabung Haji boleh yakinkan, betul beri dividen atas keuntungan, saya tidak ada masalah," katanya ketika dihubungi.

Malah, beliau mendakwa, kecenderungan Tabung Haji menggunakan rizabnya untuk membayar dividen sejak 2012 hingga menjejaskan paras rizabnya terkini, bukanlah sesuatu amalan yang bijak.

"Semua sudah sedia maklum, sejak 2012 sampailah 2014, keadaan itu berlarutan. Sedangkan ia sepatutnya bukan sesuatu yang kekal lama.

"Kalau sekali dua (beri bonus atau dividen) tidak mengapa, tapi sekarang ia seperti satu 'trend'," kata Mujahid.

Pada masa sama, Mujahid mencadangkan Tabung Haji meningkatkan jumlah subsidi penghantaran bakal haji ke Mekah berbanding membayar dividen lebih daripada kemampuan kepada pendeposit.

"Kita kena ingat apa yang lebih penting. Yang paling utama, Tabung Haji bertanggungjawab pastikan keuntungannya ialah untuk pendeposit yang seramai 8 juta, yang asalnya majoriti mereka hendak tunaikan haji.

"Ini bermakna, Tabung Haji perlu terus beri subsidi kepada jemaah menggunakan keuntungan diperolehi.

"Tetapi, berapa subsidi yang mereka beri? Saya difahamkan RM150 juta lebih. Sedangkan keuntungannya berbilion," katanya lagi.

Tambahnya, amalan membayar dividen lebih daripada kemampuan akan memberi banyak kesan buruk.

"Antaranya, Tabung Haji akan mengalami rizab semakin berkurangan. Apabila berkurangan, ia terpaksa mencairkan aset-asetnya," katanya.

Dalam surat bertarikh 23 Disember 2015, Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan paras rizab Tabung Haji negatif dan ia tidak akan dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak bertindak menyelesaikan masalah itu.

Menurut bank pusat itu, nilai aset Tabung Haji hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap RM1 nilai liabiliti.

Namun Tabung Haji hari ini mengumumkan bonus tahunan pendeposit bagi 2015 sebanyak 5%, dengan tambahan 3% bonus haji kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan ibadah itu.

Bagi 2014, TH mengumumkan tahun lepas, bonus tahunan yang diberikan adalah sebanyak 6.25% sementara bonus haji 2%. – 4 Februari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tabung-haji-bayar-dividen-guna-keuntungan-atau-rizab-soal-amanah#sthash.v1sjQAwd.dpuf

No comments:

Post a Comment