Pages

Friday, 5 February 2016

Scorpene...'Dakwa Razak di Perancis'.

Sabtu, 6 Februari 2016

'Dakwa Razak di Perancis'

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Abdul Razak Baginda perlu diheret ke mahkamah di Perancis jika individu terbabit atau syarikatnya menerima wang daripada syarikat pembina kapal selam.
Menulis dalam blognya hari ini Dr Mahathir berkata Abdul Razak dan syarikat dimiliknya sudah dinamakan dalam kes mahkamah berkaitan kapal selam Scorpene di Perancis.
Kata Dr Mahathir, Abdul Razak (gambar) pasti tidak akan didakwa di Malaysia kerana jika peguam negara bertindak demikian nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pasti akan dibabitkan sama.
"Peguam negara bukan saja mengetepikan (pertuduhan berkenaan) malah menyembunyikan laporan oleh Bank Negara dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.
Abdul Razak adalah bekas individu yang dilihat rapat dengan Najib dan pernah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu pada Oktober 2006.
Tiada kuasa tentu belian
Turut didakwa adalah dua pegawai keselamatan (ketika itu), Cif Inspektor Azilah Hadri, 40, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 44.
Kedua-dua bekas anggota polis elit itu sudah disabitkan kesalahan membunuh dan dihukum mati namun Sirul Azhar kini berada di Australia dan ditahan pihak berkuasa imigresen negara berkenaan.
Hari ini Malaysiakini melaporkan Abdul Razak yang dikenali sebagai penganalisis politik mengaku menerima kira-kira 30 juta euro (RM137 juta) sebagai imbuhan atas khidmat perundingannya dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis.
Bagaimanapun Abdul Razak menafikan wang itu digunakan untuk memberi rasuah kepada pegawai kerajaan bagi pihak syarikat Thales.
Altantuyaa didakwa menjadi penterjemah dalam perundingan pembelian kapal selam berkenaan.
"Ia adalah perjanjian yang sah. Saya melakukan kerja saya dan saya dibayar untuk itu.
"Dan saya tidak pernah membayar mana-mana pegawai," beliau dipetik sebagai berkata oleh Financial Times.
Tidak bermakna apa-apa
Dr Mahathir berkata Abdul Razak tidak mempunyai kuasa menentukan pembelian kerajaan, tetapi Najib sebagai menteri pertahanan boleh membuat keputusan mengenainya.
"Apa pun, jika Razak atau syarikatnya menerima wang daripada pembuat kapal selam (di Perancis), dia perlu diheret di depan mahkamah Perancis," katanya.
Dalam pos sama bekas perdana menteri itu juga mengecam Najib serta Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini berkhidmat sebagai peguam negara.
Katanya, tindakan Mohamed Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku tidak membawa sebarang makna.
"Untuk membersihkan nama baik Malaysia dan dirinya sendiri, Najib mesti membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa dia tidak bersalah atas semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
"Kata-kata peguam negara bahawa dia (Najib) tidak bersalah, tidak bermakna apa-apa.
"Kegagalan melakukan ini, Najib perlu meletak jawatan. Begitu juga semua pihak yang selama ini menggunakan kuasa masing-masing menyelamatkan Najib," katanya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment