JALUR POLITIK KETIGA PAS: ‘WAL HASIL BALIK ASAL’
Jalur politik ketiga Pas: ‘Wal hasil balik asal’
Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) memeterai perjanjian gabungan jalur ketiga politik 16 Mac lalu. Kononnya blok politik ketiga ini adalah yang terbaik menggantikan BN di peringkat persekutuan dan negeri serta Pakatan Harapan di peringkat negeri pada pilihan raya umum ke 14.
Sehari selepas Presiden Pas Hj Hadi Awang dan Presiden Ikatan Kadir Sheikh Fadzir menandatangani perjanjian bersekutu, ahli Pas peringkat bawahan pening kepala membalas hujah bekas rakan seperjuangan dalam DAP serta PKR.
Mana tidaknya dalam temubual Kadir bersama portal berita Free Malaysia Today beliau berkata Hudud tidak sesuai untuk dilaksanakan buat masa sekarang kerana Malaysia negara berbilang bangsa.
Penyucian parti
Ahli Pas terpinga-pinga melihat perubahan keputusan pucuk pimpinan yang drastik. Belum pun setahun Pas melakukan penyucian parti pada Muktamar Pemilihan Jun 2015, presiden dan kepimpinan tertinggi parti itu telah pun bersekongkol dengan parti yang tidak merasakan Hudud satu keperluan segera untuk dilaksanakan.
Bukankah pada bulan ini, tahun lalu, ulama-ulama Pas menyiapkan senarai cai yang perlu dipangkah oleh perwakilan dalam muktamar bagi tujuan membuang terus golongan profesional pro Anwar Ibrahim dan DAP daripada kepimpinan?
Bukankah ketika ini setahun lalu, ustaz-ustaz Pas berkempen sehingga ke akar umbi meminta perwakilan jangan mengundi pengkhianat perjuangan, ‘Mat Sabu and the gang’?
Bukankah ketika ini juga ketua-ketua Pas cawangan mengadakan majlis usrah menekankan konsep walak dan perlunya menerima keputusan ulama tanpa syarat?
Malangnya genap setahun, tiba-tiba ulama Pas bersedia pula untuk bersekutu dengan parti sekular yang tidak banyak bezanya dengan PKR atau DAP.
Jadi berbaloikah ahli Pas bermusuhan menentang rakan seperjuangan mereka? Menghalau profesional pro Anwar keluar Pas sehingga menubuhkan Amanah? Di peringkat cawangan, ada yang sanggup tidak bertegur sapa kerana puak profesional telah dilabel ‘munafik haraki’.
Balik asal
Wal hasil balik asal. Itulah ungkapan sesuai kepada Pas. Selepas perjalanan panjang yang memisahkan kelompok rakan seperjuangan; puak yang tinggal dalam Pas merasakan kemenangan Hudud mengatasi puak Anwariyun; tiba-tiba kepimpinan ulama berpatah balik balik ke dalam lingkaran lama.
Ahli diberitahu Hudud bukan keperluan untuk disegerakan. Manakala Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan mengakui Hudud sepatutnya dibawa oleh Umno kerana mereka menguasai Kerajaan Persekutuan. Hujah Naib Presiden Pas Idris Ahmad pula, untuk melaksanakan hudud mestilah mengikut peraturan yang telah terima pakai, iaitu melalui saluran demokrasi.
Bukankah itu juga hujah DAP dan PKR dalam persidangan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang terakhir pada Februari tahun lalu? Bukakah itu hujah Mat Sabu pada hari-hari terakhir sebelum dimalukan dalam Muktamar Pemilihan Jun lalu?
Oleh itu, apa perlunya Pas menyingkirkan diri daripada Pakatan Rakyat? Apa perlunya Pas bermusuh dengan DAP? Apa perlunya Pas menghalau profesional keluar sedangkan akhirnya mereka kembali kepada dasar sebelum muktamar 2015?
Politik Machiavelli
Kini di dada ahli Pas terbuku persoalan, adakah tindakan para strategis Pas memburuk-burukkan rakan seperjuangan lalu adalah kerana dendam kesumat dan sikap anti Anwar? Jika itulah alasannya maka amat memalukan sebuah parti yang berteraskan agama mengamalkan politik Machiavelli.
Lebih memilukan, ahli strategi Pas sejak setahun lalu telah menasihatkan perkara yang salah kepada presiden Hadi. Padanlah rakan-rakan lama Hadi pun tidak senang dengan politik Tuan Guru itu dan mereka mula berjinak-jinak bersama Amanah.
Ahli bawahan juga curiga apabila gabungan Pas – Ikatan yang dikatakan paling ampuh untuk menewaskan BN itu dipuji oleh pemimpin BN.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata: “Ini juga mampu menjadikan politik tanah air lebih baik, lebih demokratik dan banyak pilihan”
Manakala Ketua Perhubungan Umno Kelantan Annuar Musa menyifatkan kerjasama itu sebagai satu lagi eksperimen baru Pas: “Kita menghormati haluan PAS untuk mewujudkan blok baru dalam politik kerana setiap parti mempunyai strategi berbeza, namun apa yang penting adalah memastikan perpaduan masyarakat Melayu tidak terjejas”.
Relevankah pimpinan?
Mengapakah Umno memuji gabungan yang akan menentang mereka? Persoalan yang lebih penting pula: Adakah pemimpin Pas yang sering berbolak balik dalam membuat keputusan sesuai untuk terus menerajui parti?
Berbanding Fadzil dan Nik Aziz yang tidak mengubah keputusan untuk puluhan tahun lamanya, kemimpinan Pas kini berubah fikiran dalam masa 10 bulan sahaja.
Pertanyaan lebih lanjut tentulah, benarkah dakwaan bekas Naib Presiden Pas Husam Musa bahawa wujud anasir Umno yang memperdaya pemimpin Pas menjamin pindaan Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah diberi lampu hijau oleh Umno untuk dibentangkan dalam sesi parlimen Mac 2015 lalu, sehingga Dun Kelantan tergesa-gesa meluluskan pindaan Hudud dan Hadi membawa pindaan rang undang-undang persendirian itu ke parlimen?
Sehingga kini Pas tidak lagi berani membawa pindaan rang udang-undang ke Dewan Rakyat kerana sedar Umno telah mempermainkan mereka. Persoalan ini jika didesak oleh ahli untuk menjawabnya, boleh menyebabkan usul tidak percaya dihadapkan kepada pimpinan atasan
Adakah akan berlaku perpecahan sekali lagi dalam Pas? Tidak mustahil, melihat keadaan yang semakin tidak menentu dalam parti Islam itu.
No comments:
Post a Comment