Singkir 222 ahli Parlimen dari Dewan Rakyat – KESATUAN
Ia disebabkan mereka telah gagal menghalang dan menghukum Najib berhubung skandal 1MDB.
PETALING JAYA: Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN) menggesa agar kesemua 222 ahli Parlimen di Malaysia disingkirkan daripada Dewan Rakyat kerana didakwa bersekongkol dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi tiga tuntuan yang dibuat, Pengerusinya, Azzan Aznan Abdul Rahim mendakwa, penyingkiran itu disebabkan mereka gagal memainkan peranan menghalang dan menghukum Najib berhubung skandal 1MDB.
Katanya, ia perlu dilakukan kerana hanya dengan cara itu ia boleh memberi ruang kepada yang baru sekaligus mengembalikan mandat kepada rakyat menerusi pilihan raya.
“Maksud perkataan ‘semua mereka’ pada tuntutan kedua deklarasi (rakyat) mengenai ‘penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya’ pada perenggan 36 hendaklah ditakrifkan sebagai 222 ahli Parlimen Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya, tuntutan yang kedua dimahukan oleh pihaknya adalah pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian yang melanggar hak asasi seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), Akta Hasutan dan sebagainya.
“(Ketiga) Sistem pilihan raya di Malaysia haruslah direformasikan sepenuhnya supaya bebas dan adil. Mahasiswa akan mengadakan satu pertemuan dengan 56 ahli politik yang menandatangani deklarasi ini dalam masa terdekat.
“Kami menegaskan bahawa tuntutan kami adalah mengenai prinsip perjuangan yang sekian lama diperjuangkan oleh mereka. Kami menuntut agar mereka tidak melupakan prinsip ini hanya kerana ingin menjatuhkan Najib dari jawatannya,” katanya.
Tegasnya, tiada guna jika Perdana Menteri bertukar tetapi masalah terus berulang kerana prinsip perjuangan yang diangkat oleh mereka selama ini dilupakan demi mencapai matlamat.
Tuntutan daripada KESATUAN tersebut turut disokong tujuh persatuan mahasiswa seluruh negara.
No comments:
Post a Comment