Selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai gerakan Deklarasi Rakyat bersama-sama pemimpin pembangkang termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, perhatian hari ini tertumpu pada Kongres Rakyat di Selangor.
Kongres rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam itu merupakan cetusan ilham dan diselaraskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Mahathir sendiri dijadual mengambil bahagian dalam majlis tertutup itu dan menjadi orang terakhir yang dijadual menyampaikan ucapan.
Antara pemimpin yang akan membuat penampilan dalam majlis itu adalah timbalan presiden Umno yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah yang disingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Perhimpunan atas dasar jemputan itu akan bermula pada jam 2 petang dan dijangka berakhir sekitar jam 6 petang.
Mahathir dan sekutunya sebelum ini bergabung tenaga dengan pembangkang dan masyarakat sivil bagi menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga melakukan pembaharuan institusi.
Dalam majlis itu, pendebat terbaik Asia, Syed Saddique Syed Abdul Rahman dipilih sebagai moderator.
Malaysiakini membawakan liputan secara langsung acara tersebut.
LANGSUNG
2.20 ptg : Syed Saddique berkata beliau dahulunya merupakan peminat tegar Najib Razak dengan menyangka perdana menteri itu melakukan pembaharuan tulen untuk memansuhkan AUKU, ISA.
Namun katanya, selepas isu 1MDB, semuanya berubah.
2.10 ptg : Syed Saddique selaku moderator berkata, setiap pemimpin akan diberi 11 minit untuk menyampaikan ucapan mereka. Beliau memberi amaran bahawa loceng amaran pertama akan dibunyikan pada 10 minit, dan loceng kedua pada 11 minit.
Zaid naik ke pentas sebagai penceramah kedua. Beliau menggesa orang ramai untuk turun ke kampung-kampung dan bercakap dengan orang-orang yang mungkin tidak faham bagaimana rasuah menyumbang kepada kemiskinan mereka.
2.00 ptg: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berada di tengah pentas bersama dengan Muhyiddin, Zaid dan pemimpin-pemimpin lain yang menyokong gerakan Selamatkan Malaysia. Perhimpunan secara rasmi bermula dan Mahathir akan menyampaikan ucapan akhir. Dewan penuh dengan orang ramai dan terdapat mereka yang masih berada di luar.
1.45 tgh : Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tiba. Beliau disambut dengan laungan "Selamatkan Malaysia!" dan "Bebas Anwar!". Dokumen Deklarasi Rakyat sebelum ini dikritik sebahagian penyokong Anwar kerana tidak jelas termasuk permintaan untuk membebaskan beliau dari penjara.
1.30 tgh : Tidak lama selepas itu, timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba dengan laungan "Reformasi" "Lawan Tetap Lawan!" dan "Takbir". Muhyiddin dijadual berucap petang ini.
1:10 tgh : Dewan pada masa ini hanya dipenuhi sekitar 100 orang. Daripada jumlah itu hampir separuh adalah pengamal media, ramai yang sudah duduk dan ada yang sedang sibuk menyediakan peralatan video.
Zaid sudah berada dalam dewan bersama bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.
Di luar dewan, perwakilan masih berkeliaran dan berbual antara satu sama lain. Selain anggota sekretariat Kongres, aktivis Hishamuddin Rais juga dilihat bercakap kepada perwakilan lain.
Pemimpin tertinggi lain belum tiba dan tiada kehadiran polis berpakaian seragam dilihat dan tidak ada kenderaan polis di mana-mana tempat berhampiran.
12 tgh: Dua jam sebelum himpunan 'Selamatkan Malaysia', tetamu jemputan dan pemimpin mula tiba di Pusat Konvensyen Shah Alam Selangor.
Sekumpulan hampir 100 tetamu sedang menunggu untuk masuk ke dewan dengan kira-kira 1,200 kerusi disediakan.
Antara yang kelihatan adalah Setiausaha Agung Parti Amanah Negara Anuar Tahir, anggota Gabungan Ketua Cawangan Malaysia dan pendebat Asia Syed Saddique Syed Abdul Rahman.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment