Saya akan terus menjatuhkan Najib – Presiden GKCM
Kamarul Azman tidak patah semangat untuk menyelamatkan UMNO biarpun telah dipecat sebagai ahli parti Jumaat lalu.
PETALING JAYA: Presiden Gabungan Ketua Cabang Malaysia (GKCM), Kamarul Azman Habibur Rahman bertegas akan meneruskan misi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun telah dipecat sebagai ahli UMNO.
Beliau berkata pemecatannya itu tidak menghalang GKCM dari menentang pemimpin-pemimpin UMNO yang dianggap tidak mempunyai integriti.
“Sebenarnya GKCM sedar bahawa tindakan UMNO memecat keahlian adalah supaya mengekang suara kami daripada menentang dia (Najib).
“GKCM berpendirian tindakan (memecat) itu tidak akan sama sekali menghalang kami daripada terus menentang mereka,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Kamarul Azman juga menegaskan dia tidak akan mengalah dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tambahnya, dia akan mengeluarkan satu surat balas kepada Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan mengenai pandangannya terhadap pemecatannya itu, dalam masa terdekat.
“Kita akan keluarkan satu kenyataan dan surat kepada Setiausaha Agung (Ku Nan) mengenai tindakan yang dianggap tidak mempunyai integiriti itu,” katanya.
Sebelum ini Kamarul memberitahu dia menerima surat memaklumkan pemecatan keahliannya di dalam UMNO itu pada Jumaat lepas.
Dia yang juga seorang guru menyatakan tidak takut kehilangan kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan.
No comments:
Post a Comment