Pages

Tuesday, 12 April 2016

'Dr Zakir Naik' Bekas Pemuda PAS Johor puji keberanian Ramasamy.

Selasa, 12 April 2016

Bekas Pemuda PAS Johor puji keberanian Ramasamy

Sheikh Omar juga menyeru agar rakyat Malaysia keluar dari polemik sempit perbahasan berkaitan Dr Zakir Naik dalam mengutarakan hujah-hujahnya di ruangan terbuka.

omar,ramasamy
PETALING JAYA: Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali memuji tindakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof P Ramasamy yang segera meminda status Facebooknya dengan meminta maaf kerana menggelar pendakwah dari India, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.
“Jelas sekali tindakan ini memcerminkan keberanian, kebertanggung jawaban serta jiwa besar seorang pemimpin. Berbanding UMNO dan BN, sukar sekali keberanian sebegini dapat dilihat sekalipun terpalit pelbagai skandal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam masa yang sama, bekas aktivis Pemuda PAS itu juga menyeru agar rakyat Malaysia keluar dari polemik sempit perbahasan berkaitan Dr Zakir Naik dalam mengutarakan hujah-hujahnya di ruangan terbuka.
“Sejauh manakah Malaysia membuka ruang diskusi secara matang dan ilmiah kepada tokoh-tokoh seperti Dr Zakir Naik dan sebagainya?
“Sekiranya Dr Zakir Naik sememangnya membawa doktrinisasi ekstremis, ianya mestilah dikemukakan dengan hujah dan fakta yang kukuh.
“Hal ini memperlihatkan kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran UMNO BN adalah problematik,” katanya yang turut mempersoal sebab di sebalik keengganan pihak berkuasa menghalang Dr Zakir Naik menghadiri siri program ilmiah dan intelektual di beberapa negeri.
Bukan itu sahaja, beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan sekatan yang dikenakan ke atas individu tertentu dari memasuki Sarawak dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri kali ini.
“Ini termasuklah kebebasan pendapat, kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun dan kebebasan untuk akses kepada maklumat.
“Saya konsisten dengan hujah bahawa UMNO khususnya akan sentiasa mengugut serta meracuni pemikiran rakyat dengan sentimen politik sempit perkauman setiap kali berhadapan krisis melibatkan survival politik mereka,” katanya.
Justeru, Sheikh Omar berkata, ia menunjukkan tahap keikhlasan dan keazaman politik UMNO BN dalam meraikan kepelbagaian menerusi ruang-ruang kebebasan yang sewajarnya diamalkan dalam sebuah negara demokrasi.
“Saya menyeru agar seluruh rakyat tidak kira sama ada Muslim, Hindu, Buddha atau apa agama dan bangsa sekalipun, kembali melihat isu sebenar melingkari rakyat. Penyalahgunaan dana awan, ketirisan mengurus hasil mahsul negara adalah isu kritikal yang sedang kita depani demi menyelamatkan Malaysia,” katanya yang menggesa supaya agama tidak dijadikan punca perpecahan rakyat.
FMT

No comments:

Post a Comment