Pages

Thursday, 7 April 2016

[Video] Ahli parlimen pembangkang berarak ke Bukit Aman, desak pembebasan Rafizi...Polis mungkin mengambil tindakan?

Khamis, 7 April 2016

Ahli parlimen pembangkang berarak ke Bukit Aman, desak pembebasan Rafizi

 | April 7, 2016
Polis mungkin mengambil tindakan lanjut, kerana perarakan itu menyalahi undang-undang
berarak
KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 ahli parlimen pembangkang berarak sejauh 1 kilometer dari Parlimen ke Bukit Aman, bagi membantah penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Kumpulan itu yang diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkumpul di luar Parlimen pada jam 9 pagi tadi, sebelum memulakan perarakan 10 minit kemudian.
Kira-kira 50 meter dari Parlimen, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, DSP Gurbinder Singh cuba menghentikan perarakan itu, dengan alasan ia adalah perhimpunan haram yang menyalahi Akta Perhimpunan Aman 2012.
Kumpulan wakil rakyat yang ingkar itu terus berarak sambil melaungkan slogan “Bebaskan Rafizi” dan “Hidup Rakyat” sepanjang perjalanan, sebelum tiba di pintu masuk Bukit Aman 15 minit kemudian.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mewakili Pakatan Harapan untuk menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Manivannan memberitahu FMT, memorandum itu diserahkan kepada seorang pegawai polis bernama ASP Rizal yang berjanji akan menyerahkannya kepada Khalid.
“Dalam memorandum itu, kami mahu polis membebaskan Rafizi, kerana penahanannya di dalam kawasan parlimen tidak dilakukan berdasarkan undang-undang.
“Kedua, kami mahu polis menghormati kedaulatan parlimen, kerana ia adalah institusi suci dalam demokrasi negara,” katanya.
Semalam, Khalid menerusi akaun Twitternya memberi amaran kepada ahli parlimen pembangkang supaya tidak menyertai perarakan itu atau berdepan tindakan jika mereka berhimpun di hadapan Bukit Aman.
Rafizi yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung DAP, ditahan polis sebaik keluar dari kawasan Parlimen, Selasa lalu.
Beliau ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), kerana menyampaikan rahsia rasmi kerajaan secara salah.
Beliau direman selama tiga hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung pendedahan dokumen rasmi kerajaan dan dakwaannya mengenai pembayaran gratuiti kepada veteran Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

No comments:

Post a Comment