Kenyataan Media Pemuda Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH)
IGP JANGAN KHIANATI AMANAH RAKYAT
Pemuda AMANAH mengutuk sekeras-kerasnya tangkapan ke atas YB Rafizi Ramli untuk disiasat di bawah seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.
Tangkapan yang dilakukan di pintu masuk Parlimen Malaysia adalah suatu tindakan yang tidak menghormati kesucian institusi 'legislative' yang merupakan tunggak utama sistem demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.
Keberanian YB Rafizi mendedahkan dokumen-dokumen yang dikaitkan dengan salah urus institusi kewangan negara termasuk LTAT, Tabung Haji, 1MDB dan sebagainya harus dipuji. Ketua Polis Negara (IGP) sewajarnya menyambut baik pendedahan ini kerana ianya dilakukan demi menyelamatkan dana berbilion ringgit wang negara, dan bukan sebaliknya bertindak zalim terhadap beliau.
Sebaliknya, Perdana Menterilah yang harus ditangkap dan disiasat berkenaan pelbagai skandal dan salahlaku yang dihadapi ketika ini. Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak seharusnya digunakan secara 'arbitrary' bagi menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri. Akta ini seharusnya digunakan atas nama keselamatan negara dan bukannya penyelewengan wang negara.
IGP harus menjaga kepentingan rakyat lebih daripada Perdana Menteri. Jangan khianati amanah rakyat untuk memelihara keamanan negara dan menegakkan keluhuran undang-undang (rule of law). Negara ini bukan milik Najib Razak, tetapi milik rakyat.
Suara rakyat suara keramat. Rakyat harus bangkit menuntut pembebasan segera wira rakyat ini. Kezaliman dan salahguna kuasa Perdana Menteri ini harus dihentikan.
FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua
Pemuda AMANAH Nasional
Timbalan Ketua
Pemuda AMANAH Nasional
7 April 2016
No comments:
Post a Comment