Pages

Sunday, 8 May 2016

Pertembungan PKR-DAP bukan sebab BN menang..."PKR muhasabah, DAP mahu bedah siasat".

Ahad, 8 Mei 2016

Pertembungan PKR-DAP bukan sebab BN menang

Sehari selepas berlangsung pilihan raya negeri Sarawak, dua parti pembangkang yang bertanding di negeri itu - PKR dan DAP- nampaknya akur dengan keputusan diumumkan malam semalam.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya akan mengkaji kekalahan di kerusi yang ditandinginya, selain terus konsisten dengan perjuangan mereka.
“Kami akan bermuhasabah diri, serta mempertingkat dan memperbaiki keupayaan pakatan politik ini dalam mempersembah program bersama yang memperjuangkan keadilan sosial dan ekonomi demi rakyat.
“Kita perlu mengatasi kepentingan kepartian yang sempit demi perpaduan nasional. Ini amat penting untuk menzahirkan masa depan yang lebih baik demi Sarawak,” kata anggota Parlimen Permatang Pauh itu dalam kenyataannya hari ini.
Mengucapkan tahniah atas kejayaan BN, ADUN Kajang itu juga mengakui pilihan raya negeri Sarawak adalah paling sukar bagi mereka dengan menempuh pelbagai cabaran dan halangan.
“Amatlah penting untuk ingat bahawa pilihan raya negeri kali ini merupakan pilihan raya negeri yang paling susah bagi kami, dengan pelbagai cabaran dan halangan yang mengingatkan kami untuk terus istiqamah dalam perjuangan mendesak pilihan raya yang lebih bebas dan adil sebelum pilihan raya umum yang akan datang,” tambah Wan Azizah.
Tangani kekecewaan penyokong
Sementara itu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula berkata parti itu akan melakukan bedah siasat selepas mengalami kehilangan lima kerusinya kepada BN.
“Parti akan menjalankan bedah siasat dan menunggu laporan penuh daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen atas kekalahan kami, termasuk kegagalan kita untuk membawa sebarang kemajuan di kerusi Dayak di luar bandar,” kata Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam kenyataan.
Lim juga berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kedua-dua rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan iaitu PKR dan AMANAH.
“Kita perlu menangani kekecewaan penyokong kita, bukan hanya sebagai sebuah parti politik, tetapi juga sebagai Pakatan Harapan.
“Terdapat keperluan untuk mengukuhkan mekanisme dalaman di dalam Pakatan Harapan supaya perjanjian yang dibuat mesti dihormati dan dipertahankan. Pakatan perlu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan kita,” tambah Lim.
Kedua-dua parti itu sebelum ini dilihat tidak sehaluan dalam menentukan pembahagian kerusi apabila bertembung sesama sendiri di enam kawasan DUN pada pilihan raya negeri Sarawak.
PKR tewas di 37 kerusi namun mengekalkan kesemua kerusi dimenanginya pada pilihan raya Sarawak 2011 iaitu di Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan.
DAP yang bertanding di 31 kerusi hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu.
Parti itu kecundang di semua enam kerusi yang menjadi rebutannya dengan PKR di Batu Kitang, Ngemah, Mambong, Simanggang, Murum dan Mulu.

Malaysiakini


PKR muhasabah, DAP mahu bedah siasat

Pertembungan antara PKR dan DAP adalah antara sebab yang disebut oleh ramai pihak menyebabkan kekalahan buruk Pakatan Harapan dalam pilihan raya negeri Sarawak.
Bagaimanapun, keputusan pilihan raya terperinci yang diterbitkan Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan kedua-dua parti Pakatan Harapan itu tidak boleh mengalahkan BN, walaupun dalam pertandingan satu lawan satu.
Sebagai contoh, di Batu Kitang, calon BN Lo Khere Chiang menang dalam pertembungan pelbagai penjuru ke atas calon PKR Voon Shiak Ni, calon DAP Abdul Aziz Isa dan dua calon bebas yang lain.
Walaupun kedua-dua calon bebas membuat sedikit perbezaan dengan hanya memperoleh 105 undi terkumpul, Voon dan Abdul Aziz hanya memperoleh sejumlah 5509 undi berbanding Lo sebanyak 6,466 undi.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak mengulangi kaji selidik Merdeka Centre yang ditugaskan oleh PKR dan DAP bagi menyelesaikan pembahagian kerusi berdasarkan sikap di kalangan pengundi.
Menurut kaji selidik dijalankan sebelum pilihan raya itu, 60 peratus pengundi Batu Kitang memihak DAP dengan mengatasi BN manakala hanya lapan peratus mengatakan yang sama untuk PKR.
Abdul Aziz memperoleh 4626 undi melepasi Voon, yang hanya berjaya meraih 883 undi di kawasan yang terletak di ibu kota Kuching.
PKR sebelum ini cuba membongkar kaji selidik Merdeka Center sebagai faktor DAP bertanding di Batu Kitang, dengan menunjukkan bahawa keputusan itu tidak lagi terpakai kerana ia dijalankan pada bulan Januari.
Parti itu kemudian memetik kajian yang dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dari 27 April-1 Mei yang mendapati bahawa Voon lebih digemari berbanding Abdul Aziz di kerusi majoriti Cina.
Di kawasan Mambong, di sisi lain menyaksikan calon BN Jerip Susil memenangi kerusi itu dengan 6,161 undi lebih daripada undi untuk calon PKR Willie Mongin dan calon DAP Sanjan Daik, yang memperoleh 5473 secara kolektif.
Merdeka Center menunjukkan kedua-dua calon PKR dan DAP itu sama-sama disukai bagi menentang BN di kawasan itu.

Malaysiakini

No comments:

Post a Comment