AMANAH pastikan tiada pertembungan dalam HARAPAN
Parti Amanah Negara (AMANAH) akan memastikan tidak akan ada pertembungan antara parti komponen Pakatan Harapan dalam dua pilihan raya kecil akan datang.
Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata demikian sebagai respons kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa pembangkang bertanding sebagai satu pasukan untuk mengalahkan Barisan Nasional di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
"Kami dalam Pakatan (Harapan) akan berusaha supaya tak ada pertindihan calon seperti berlaku di Sarawak. Luar daripada Pakatan Harapan kami tak ada upaya mengendalikan parti-parti lain yang begitu banyak di Malaysia ini. Hak mereka (untuk bertanding),"kata Mohamad dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.
Pakatan Harapan, katanya, akan bertanding menentang sesiapa sahaja, terutamanya BN dan sekutunya.
PAS masih mahu bertanding di kedua-dua kerusi itu dan telah meminta HARAPAN tidak menyertai pertandingan pelbagai penjuru yang akan memecahkan undi dan memberi kemenangan terhadap BN.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dilaporkan memberi amaran kepada parti lain yang ingin meletakkan calon mereka supaya ‘mengukur baju di badan sendiri’.
"Sama-sama la ukur baju, kalau kita nak buat warna pink, ukur la warna pink, tak ada masalah," kata Mohamad secara berseloroh.
Tidak jelas jika ia merujuk pakaian baju Melayu berwarna merah jambu yang dipakai Hadi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila mereka berkongsi pentas yang sama dalam satu persidangan Disember tahun lepas.
Belum buat keputusan calon
Sementara itu, AMANAH masih belum membuat keputusan mengenai calon yang akan bertanding pada dua pilihan raya kecil itu walaupun beliau mengesahkan bahawa mereka yang disenarai pendek adalah yang paling berkaliber.
Parti itu juga belum membuat keputusan jika presiden sendiri dan Timbalannya (Salahuddin Ayub) perlu bertanding.
"Siapa sahaja antara kami dan di luar daripada kami boleh menjadi calon," kata Mohamad apabila ditanya jika bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin antara calon yang akan dipilih.
Ditanya sama ada undi untuk AMANAH akan digunakan untuk mengukur prestasi dan populariti dalam pilihan raya kecil itu, Mohamad menyebut bekas partinya pernah hilang banyak deposit sebelum pilihan raya umum 1999.
Parti Islam itu berjaya memenangi negeri-negeri Kelantan dan Terengganu selepas itu.
"Sarawak tidak boleh dijadikan ukuran seperti di Semenanjung," katanya.
Kurang satu tahun penubuhannya, AMANAH kehilangan semua 13 kawasan yang ditandinginya pada pilihan raya negeri Sarawak.
Sementara itu, ketika ditanya pertarungan pelbagai penjuru akan menyebabkan perkara sama berlaku di Sarawak, Mohamad mengaitkan pilihan raya kecil Bukit Selambau pada tahun 2009, menyaksikan ketika itu Pakatan Rakyat memenangi kerusi itu walaupun 13 calon menentang satu sama lain.
Parti itu juga akan membincangkan perkara berkenaan di mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan jika Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali meminta AMANAH tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
"Tunggu kami bincang dalam Pakatan Harapan. Parti dalam Pakatan ada tiga, DAP, AMANAH (Dan) PKR," katanya.
Pilihan raya kecil berkenaan ditetapkan akan dijalankan serentak, dengan hari penamaan calon pada 5 Jun, manakala hari pengundian ditetapkan pada 18 Jun.
Dua kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan MP Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, dalam nahas helikopter pada 5 Mei di Sarawak
PRK: Pintu Rundingan Ditutup, Pas Hantar Calon
KUALA LUMPUR - Pas menyifatkan sesi rundingan dengan mana-mana pihak berhubung dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar sudah selesai apabila parti Islam itu memutuskan untuk bertanding.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan mengumumkan calon tempatan dalam masa terdekat.
Ketika ditanya kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru, Abdul Hadi hanya menjawab, "tunggu dan lihat."
Meskipun ada kemungkinan PKR meletakkan calon dalam PRK di Sungai Besar nanti, Abdul Hadi menyifatkan kerjasama parti Islam itu dengan PKR di Selangor tidak terjejas.
"(Walau PKR letak calon di Sungai Besar) Pas tetap jalin hubungan dengan PKR," katanya.
Mengulas dakwaan DAP, parti Islam itu tidak mampu mengulang prestasi seperti pilihanraya umum lalu kerana penurunan sokongan pengundi bukan Melayu, Abdul Hadi berkata, tidak semua pengundi Cina menyokong DAP.
"Itu menjadi ukuran sejauh mana kaum Cina menerima gelombang (kita). Insya-ALLAH.
"Bukan semua Cina sokong DAP," katanya.
BLM.
No comments:
Post a Comment