Kajian dapati Pas bakal hilang 6 hingga 8 ribu undi Cina Sg. Besar
| ARIF ATAN
Rata-rata pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar yang ditemui oleh Ilham Centre dalam tinjauan lapangan badan kajian politik itu baru-baru ini menyatakan penolakan mereka secara berterus-terang terhadap Pas.
Pengerusi Eksekutifnya, Hisomudin Bakar berkata, reaksi spontan pengundi Tionghoa di parlimen tersebut dipercayai ekoran perubahan dasar kepimpinan Pas termasuk bertindak keluar daripada blok pembangkang sekaligus memecahkan gabungan Pakatan Rakyat.
“Pengundi Cina sudah tentu tak akan undi Pas. Melalui pertemuan dengan penduduk Cina di Sungai Besar, bila ditanya kepada mereka, berapa peratus Cina boleh bagi (undi) pada Pas, mereka ada yang jawab, kalau dapat 1 peratus pun, Cina buta saja yang undi Pas,” ujarnya.
Berkongsi hasil pemerhatiannya pada forum “Tiga Penjuru: Pembangkang Rugi?” di Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi, beliau memberitahu, pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar jelas marah dengan pendirian politik Pas.
“Jadi, ke mana pengundi cina pergi? Kepada Amanah kebarangkalian tinggi, atau dapat nombor dua (jumlah undi). Jika kena dengan strategi, Amanah juga akan meraih undi daripada kelompok atas pagar yang sebelum ini mengundi Pas atas tiket pakatan pembangkang,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Hisomudin mengakui pihaknya tidak terlalu optimis dengan jumlah undi yang diterima Amanah sekiranya peratusan pengundi Cina keluar mengundi merosot atau pengundi muda di luar Sungai Besar enggan pulang untuk mengundi.
Mengulas perkembangan semasa Pas di Sungai Besar, beliau berpendapat parti diterajui Datuk Seri Hadi Awang itu sedang mengalami banyak masalah.
“Suramnya kempen Pas di Sungai Besar setakat ini. Pas tak buka lagi 40 cawangan. 15 cawangan saja yang buat (mengadakan) mesyuarat. Itupun tak buka UPU (Unit Peti Undi) mereka.
“Mereka sudah tahu keputusan (PRK). Pas dijangka hilang 6,000 hingga 8,000 undi daripada pengundi Cina,” ujarnya.
Melihat potensi yang ada pada Amanah ekoran kemelut Pas itu, menurutnya, situasi tersebut berbeza di antara Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Ada kelompok harummanis (masih ahli Pas tetapi kritis terhadap parti) yang masih belum keluar. Kelompok ini lebih ramai di Sungai Besar berbanding Kuala Kangsar. Pada peringkat awal lalu, mereka yang masuk Amanah ini ramainya adalah guru dan aktivis Pas,” katanya lagi.
Sementara itu, pemilihan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon bertanding di Sungai Besar, ujarnya, keputusan BN itu lebih bersandarkan faktor populariti.
“Budiman dia ini begitu popular termasuk kalangan mat-mat rempit. Umno ingin mengambil jalan mudah kerana calon sudah dikenali. Kita juga perlu memahami cara berfikir penduduk tempatan yang tegar pemikirannya sama ada di sebelah Umno mahupun Pas,” tambahnya lagi.
Forum anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) selama kira-kira dua jam itu tetap diteruskan dalam keadaan bergelap dan panas akibat terputusnya bekalan elektrik ketika memasuki jam kedua program tersebut.
Walau bagaimanapun, pentas forum masih diterangi sedikit cahaya apabila beberapa peserta secara spontan menyalakan fungsi lampu pada telefon pintar masing-masing.
No comments:
Post a Comment