Pages

Thursday, 23 June 2016

'Menyedari kesilapannya memfitnah DAP' YDP Pas mohon maaf

Khamis, 23 Jun 2016

Selepas diberi amaran saman, pemimpin Pas mohon maaf fitnah DAP

Shaharuddin Ibrahim
Menyedari kesilapannya memfitnah DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang ketika menyampaikan tazkirah di sebuah masjid, Yang Dipertua Pas Kawasan Padang Serai, Shaharuddin Ibrahim tampil memohon maaf.
Dalam tazkirah Ramadan sewaktu kempen PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar berlangsung, Shaharuddin mendakwa akan berlaku larangan azan di masjid-masjid jika DAP memerintah seperti yang berlaku di Pulau Pinang sekarang.
"Saya tidak mahu berbalah dan memanjangkan isu ini jadi dengan rendah hati saya memohon maaf kepada pihak-pihak yang tersinggung dengan kenyataan itu, khususnya DAP," kata Shaharuddin seperti dilapor Sinar Harian.
Selain itu, Shaharuddin turut menjelaskan, tazkirah tersebut sebenarnya hanya bermaksud untuk melahirkan kebimbangan terhadap sikap DAP dan sekutunya yang menentang usaha menegakkan syariat Islam di negara ini.
"Khususnya penentangan terbuka mereka terhadap Pindaan Rang Undang-Undang 355 yang dibawa oleh Pas di Parlimen baru-baru ini.
"Saya berharap penentangan mereka itu tidak akan membawa kepada larangan melaungkan azan di masjid-masjid.
"Ini kerana azan dan solat adalah sebahagian daripada syariat Islam yang tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak dalam negara ini," katanya merujuk kepada tindakan beberapa ahli Parlimen Amanah dan DAP yang inginkan penjelasan mengapa isu persendirian berhubung pindaan Akta 355 itu diberi keutamaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim semalam menggesa Shaharuddin memohon maaf secara terbuka kerana melemparkan fitnah kononnya masjid-masjid di Pulau Pinang tidak boleh melaungkan azan.
Abdul Malik amat kesal dengan kenyataan berunsurkan fitnah yang dilemparkan Shaharuddin ketika menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Jamek An-Najah, Padang Serai, Kedah pada 11 Jun 2016.
Abdul Malik berkata, tazkirah Ramadan berdurasi 30 minit itu jelas menyiarkan ucapan Shaharuddin pada minit 14:35 iaitu "Kalau DAP menguasai negara..nuu Pulau Pinang tuan-tuan, bang (azan) dah tak boleh dah, bang (azan) tak boleh dah, tuan-tuan".

No comments:

Post a Comment