Dr M: Saya tidak lagi bermusuh dengan Anwar
Bekas PM berkata tidak punyai kuasa untuk membebaskan bekas anak didiknya yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak lagi bermusuh dengan bekas anak didik dan seteru ketatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini sedang menjalani hukuman lima tahun penjara.
“Saya tidak lagi bermusuh dengan Anwar. Itu semua di masa lalu,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu temubual dengan Mehdi Hassan, pengacara program UpFront di Al Jazeera.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai Anwar, dan menambah tidak punyai kuasa untuk membebaskan mereka yang sedang dipenjarakan.
Pernah dinamakan sebagai pengganti perdana menteri paling lama di Malaysia, Anwar – pada ketika itu timbalan perdana menteri – dipecat pada 1998 atas dakwaan rasuah dan seks luar tabii.
Ramai penyokong Anwar hari ini meletakkan tanggungjawab ke atas bahu Dr Mahathir di atas pemenjaraan ketua umum PKR itu.
Bekas wakil rakyat Permatang Pauh itu sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya.
“Dia sekarang ditahan bukan kerana saya, tetapi kerana Najib,” kata Mahathir, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Meskipun negarawan ini mendakwa tidak lagi bermusuh dengan Anwar, pemimpin PKR itu masih berwaspada dengan bekas gurunya.
Pada Mei lalu, Anwar mengutuskan surat amaran kepada kepimpinan partinya supaya berwaspada dengan muslihat Dr Mahathir susulan pelancaran Deklarasi Rakyat, yang menuntut perletakan jawatan Najib dan perlaksanaan reformasi institusi di negara ini.
FMT.
No comments:
Post a Comment