2 soalan untuk calon-calon Sungai Besar, K Kangsar
Ekoran tragedi helikopter terhempas, dua kerusi Parlimen iaitu Sungai Besar dan Kuala Kangsar mengalami kekosongan.
BERSIH 2.0 ingin sekali lagi melahirkan rasa simpati dan sokongan kepada keluarga serta rakan-rakan yang telah kehilangan orang tersayang dalam tragedi ini. Sementara kita berbincang mengenai pilihan raya kecil (PRK), kita tidak melupakan mereka yang telah kehilangan orang tersayang.
BERSIH mengakui pertembungan pelbagai penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Malah, pertembungan pelbagai penjuru boleh menjadi suatu realiti yang mungkin terpaksa dihadapi dalam pilihan raya umum (PRU) 14 dan seterusnya.
Pada masa yang sama, BERSIH ingin menzahirkan kebimbangan mengenai keadaan semasa yang menyaksikan negara berdepan dengan skandal-skandal yang membelenggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga memperlihatkan banyak keputusan dibuat demi kepentingan peribadi dan bukan lagi kepentingan negara.
Najib menolak semua kemungkinan berhubung kebenaran dalam skandal 1MDB dan penjenayah yang sepatutnya dibawa ke muka pengadilan menerusi beberapa tindakan politik caturannya.
Kami percaya kedua-dua PRK perlu menghantar satu mesej yang jelas bahawa penyalah gunaan kuasa secara meluas, kemusnahan institusi negara dan kecurian wang rakyat harus dihentikan. Semua rakyat Malaysia kini membayar harga yang besar bagi skandal 1MDB bernilai RM42 bilion.
Dalam PRK kali ini, sebagai rakyat Malaysia, kami mempunyai dua soalan mudah untuk ditanyakan kepada calon-calon Barisan Nasional, AMANAH, PAS dan calon bebas di setiap kawasan. Ini dapat membantu para pengundi untuk membuat keputusan dalam memilih calon terbaik bagi mewakili kepentingan dan kesejahteraan mereka. Kedua-dua soalan adalah seperti berikut:
Soalan 1
Jika anda menjadi Ahli Parlimen, apakah anda akan menyokong penyingkiran Najib selaku perdana menteri dan 10 pembaharuan institusi yang dituntut oleh Bersih 2.0?
Soalan 2
Jika anda menjadi Ahli Parlimen, adakah anda akan menyokong pembaharuan untuk memastikan pilihan raya yang bersih dan adil, termasuk perakaunan kewangan telus oleh calon-calon?
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment