Pages

Thursday, 2 June 2016

[Video] "Sarban di kepala, tapi maki hamun lawan!" PAS sengaja buat lupa dengan dosa tindak-tanduk UMNO di Pulau Pinang.

Jumaat, 3 Jun 2016

Duhai PAS, Bukan DAP yang mempergadai hak orang Melayu jika kamu nak tahu..

Oleh Syerleena Abdul Rashid

Syerleena-Abdul-Rashid_penang_wanita_600
Dalam muktamar Pemuda Pas baru-baru ini, kita dapat melihat penonjolan retorik yang penuh dengan hasrat buruk sangka yang tidak terkawal terhadap DAP, lebih-lebih lagi sejak PAS mulai menjalin hubungan mesra dengan UMNO.

Hari ini, ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd. Hafiz Alias menyuarakan tuntutan mengekalkan ‘tanah milik Melayu’ dengan meminta semua konstitusi di Pulau Pinang menentang dan memperjuangkan apa yang diwawarkannya, ketidaksamarataan sosial yang membelenggu kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah DAP.

Menurut beliau, populasi ‘Orang Melayu di Pulau Pinang adalah kedua terbanyak iaitu 43.6 peratus namun hanya memiliki 20.1 peratus tanah di negeri ini’.

PAS ternyata cuba menyemarakkan emosi perkauman sejajar dengan muslihat UMNO yang sentiasa mencari helah mengaitkan isu-isu tertentu dengan dakwaan perkauman.

PAS juga nampaknya sengaja buat lupa dengan dosa tindak-tanduk UMNO yang lalu yang ternukil dalam lipatan sejarah. Umum mengetahui bahawa UMNO telah banyak ‘merampas’ tanah-tanah milik Melayu dengan membelinya pada harga murah dan menjualnya dengan harga tinggi.


Contohnya kes Kampong Terang di Balik Pulau di mana 31 pemilik tanah (Melayu) menjual tanah mereka pada Januari 2012 kepada Maison Heights Sdn Bhd dengan jumlah harga RM8,563,983.00 yang kemudian menjualkannya kepada Kay Pride Sdn. Bhd. pada May, 2012 dengan harga RM13,457,664.00 – untung sebanyak RM 5juta dalam hanya 5 bulan. Ini terang-terang suatu eksploitasi sistem yang sedia ada dan apa lebih menyedihkan ialah ia adalah suatu eksploitasi terhadap orang-orang Melayu dengan cara yang amat jijik.

Jangan kita lupa bahawa dua daripada anggota Lembaga Pengarah Maison Heights pada masa itu adalah Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Dato Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Pilihanraya Barisan Nasional, Dato Omar Faudzar.

Kes-kes skandal tanah yang dirancang para pemimpin UMNO jelas memperlihatkan betapa hipokritnya mereka menuduh orang lain sedangkan mereka adalah petualang Melayu dalam senyap.

Tuduhan terhadap kerajaan Pulau Pinang ini bukanlah yang pertama kali dan akan berterusan dari semasa ke semasa. Pada masa yang lalu PAS pernah cuba memburuk-burukkan imej dan reputasi DAP sebagai sebuah parti anti Islam dan Melayu.

Kes Kampong Mutiara dan Kampong Chetty diputarbelit dan dijadikan isu dengan menabur fitnah dan niat memecahbelah keharmonian dan perpaduan penduduk Malaysia.

Hakikatnya, apa yang ketara ialah bahawa Kerajaan Pulau Pinang di bawah DAP telah berusaha sedaya mungkin untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah para penduduk dengan pemaju berhubung sebarang isu berkaitan dengan pembangunan contohnya kes-kes Kampong Permatang Tok Subuh di Bukit Mertajam, Kampong Chetty dan Kampong Batu Feringghi di mana penghuni di kawasan-kawasan tersebut dipaksa keluar oleh pemaju dengan sebahagian daripada mereka tidak diberi pampasan.

Nyata sekali bahawa dua komponen yang menjadi elemen keadilan sosial ialah makanan yang cukup dan perumahan asas untuk semua manusia. Pakatan Harapan telah bertindak tegas dan mengambil langkah demi keadilan sosial untuk mempertahankan hak-hak kemanusiaan mereka agar terjamin. Dengan melindungi hak semua penduduk negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang menjamin kesejahteraan rakyatnya.

Percaturan yang dipermainkan PAS dengan menuduh DAP dan Pakatan Harapan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan tanpa bukti-bukti kukuh menyerlahkan betapa gelabahnya PAS ketika ini untuk menawan hati sekutu politik elit yang baru sehingga langsung tidak mengendahkan fakta-fakta dan sejarah yang ternyata boleh membuktikan siapa yang benar-benar menggadai orang Melayu.

Syerleena Abdul Rashid ialah Penolong Setiausaha Publisiti Negeri DAP Pulau Pinang.

KDL.

No comments:

Post a Comment