Mahathir ajak kutuk kepimpinan Najib melalui peti undi 2 PRK
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan peluang kepada rakyat untuk mengutuk kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, meskipun tidak dapat menukar kerajaan jika Pakatan Harapan memenangi dua PRK tersebut namun ia menjadi mesej kepada penolakan Najib.
“Kita berpeluang pilihan raya kecil hari ini untuk mengutuk kepimpinan Najib. Kita menang pun tak boleh jadi kerajaan tapi amaran atau mesej yang kita nak sampaikan boleh menyebabkan Najib fikir semula untuk terus menjadi perdana menteri,” katanya ketika berucap dalam forum Selamatkan Malaysia bersama Deklarasi Rakyat di Pekan Manong hari ini, dalam kunjungan kedua beliau ke Kuala Kangsar bagi berkempen untuk Parti Amanah Negara (Amanah).
Beliau secara berseloroh berkata, kehadirannya mendapat sambutan yang hebat daripada Barisan Nasional (BN) apabila kebanyakan jalan diturap.
“Apabila diberitahu saya akan datang ke Manong ini mereka terus bubuh tar jalan. Tapi niat mereka lain sikitlah. Niat mereka berasaskan ‘cash is king’. Wang tunai itu adalah raja.
“Dia fikir kalau pasang tar di jalan ini maka semua orang akan berduyun-duyun sokong calon mereka. Ini adalah sikap seorang yang pegang kepada rasuah sebagai yang utama. Cara nak menang beli semua orang,” katanya.
Mahathir juga sekali lagi menyatakan sokongannya terhadap calon Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli dan menyeru rakyat Kuala Kangsar memilih Ahmad Termizi pada 18 Jun ini.
“Saya berada di sini bukan sahaja menyokong seorang calon daripada Amanah tetapi juga calon ini sudah menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menolak Najib.
“Saya sokong penuh pendirian calon dan saya harap rakyat di sini juga akan menyokong penuh calon yang kita perkenalkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment