Skim pencen penjawat awam akan dimansuh?
Kesatuan pekerja perkhidmatan awam Cuepacs membidas cadangan supaya penjawat awam sendiri membuat sumbangan ke dalam tabung persaraan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dipetik akhbar TheSun membayangkan cadangan itu di mana penjawat awam menyumbang sendiri ke dalam KWAP, sama seperti pekerja swasta yang menyumbang ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“KWAP baru sahaja ambil alih pengurusan wang pencen dan dia sudah mula bercakap seperti ini,” kata Presiden Cuepacs Azih Muda kepada FMT, kesal dengan langkah itu.
Wan Kamaruzaman berkata demikian kerana menurutnya ada kemungkinan skim pencen yang wujud pada masa ini dimansuhkan kerajaan.
“Kita mungkin perlu bertukar kepada skim seperti KWSP,” katanya.
Azih bagaimanapun berkata Wan Kamaruzaman tidak perlu membuat keputusan bagi pihak kerajaan, dan menambah hak penjawat awam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Beliau tidak ada kuasa memutuskan sama ada kerajaan perlu mengubah skim persaraan atau tidak,” kata Azih.
KWAP bertanggungjawab menguruskan dana bagi mencapai pulangan melalui pelaburan dalam membantu kerajaan membiayai pencen penjawat awam
Skim tersebut menjamin pembayaran pencen sepanjang hayat berupa setengah daripada gaji terakhir penjawat awam yang bersara pada usia 60.
Sejak November 2015, KWAP mengambil alih tugas pembayaran pencen kepada 700,000 pesara kerajaan. – Free Malaysia Today
Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454) telah digubal bertujuan untuk membantu pembiayaan liabiliti pencen Kerajaan Persekutuan. Berikutan itu, Kumpulan Wang Amanah Pencen telah ditubuhkan pada 1 Jun 1991 dengan geran penubuhan sebanyak RM500 juta daripada Kerajaan Persekutuan. Kumpulan Wang Amanah Pencen ditadbir oleh Majlis Kumpulan Wang Amanah Pencen di bawah pengurusan Jabatan Akauntan Negara Malaysia yang bertanggungjawab dalam pentadbiran dan pengurusan harian.
ReplyDeletePada 1 Mac 2007,Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (“KWAP”) telah ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454) yang dimansuhkan. Dengan penubuhan KWAP, semua kuasa, fungsi, aktiviti, aset dan liabiliti Kumpulan Wang Amanah Pencen diambil alih sepenuhnya oleh KWAP.
Objektif
Objektif KWAP ialah menguruskan dana yang ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) ke arah mencapai pulangan optimum melalui aktiviti pelaburannya. Dana tersebut akan digunakan untuk membantu Kerajaan Persekutuan dalam pembiayaan liabiliti pencen.
Fungsi
Fungsi-fungsi KWAP adalah seperti berikut:
Pengurusan caruman daripada Kerajaan Persekutuan,Badan Berkanun,Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi- Agensi lain;
Pentadbiran, pengurusan dan pelaburan dana dalam ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan bentuk-bentuk pelaburan lain yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662); dan
Pengurusan pembayaran pencen.