Tangkap MO1 macam tangkap Pokemon, seru Isham Rais
Rakyat Malaysia diminta menyertai perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos supaya mereka boleh menangkap Malaysian Official 1 (MO1) seperti menangkap Pokemon.
"Saya ingin bertanya, bagaimana kita tangkap MO1, kerana Malaysian official 1 masih belum diketahui," kata aktivis sosial Hishamuddin Rais.
"Jadi saya nak tanya anak-anak muda, dapatkah kita tangkap MO1 pada petang itu? Kerana itu saya menyeru seluruh rakyat Malaysia datang beramai-ramai, kita tangkap dia (MO1) macam kita tangkap Pokemon," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan bersama BERSIH dan sembilan NGO lain.
Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel turut bersetuju dengan Hishamuddin dan secara berseloroh berkata MO1 mungkin adalah Pokemon paling
sukar ditangkap.
sukar ditangkap.
Sidang akhbar itu diadakan oleh NGO-NGO berkenaan untuk menyatakan hasrat mereka menyokong perhimpunan #TangkapMO1 oleh kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Anak Muda.
NGO lain ialah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), C4, Pusat Komas, Lawyers for Liberty (LFL), Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Persatuan Peguam Wanita, Sister in Islam (SIS), Empower dan Ikram Malaysia.
Kumpulan itu menggesa polis memudahkan Gerakan Anak Muda yang membincangkan aturcara protes dengan pihak berkuasa hari ini.
Mereka juga berjanji untuk menyediakan sokongan undang-undang kepada peserta yang menyertai perhimpunan berkenaan.
"Kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin untuk semua rakyat Malaysia di bawah perlembagaan persekutuan. Hak ini boleh digunakan untuk semua rakyat Malaysia, termasuk belia dan pelajar.
"Untuk tujuan ini, kami menyeru kepada Polis Diraja Malaysia memberikan kerjasama sepenuhnya dan membenarkan perhimpunan itu berlangsung secara aman," kata 10 NGO itu dalam satu kenyataan media bersama yang dibacakan pada sidang akhbar tersebut.
Kumpulan itu turut mengecam penahanan aktivis pelajar Ariffin Amin oleh polis bantuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini kerana menganjurkan taklimat mengenai isu-isu 1MDB dan MO1.
Malaysiakini.
Polis benarkan himpunan '#TangkapMO1' dengan syarat...
Polis memberi 'lampu hijau' atau kebenaran kepada pihak penganjur #TangkapMalaysianOfficial1 untuk meneruskan perhimpunan pada 27 Ogos ini.
Bagaimanapun, jurucakap kumpulan itu, Anis Syafiqah Mohd Yusuf memberitahuMalaysiakini, mereka diarahkan untuk mendapatkan kebenaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL) untuk berhimpun di Dataran Merdeka.
Jelas beliau, keputusan tersebut dicapai dalam pertemuan bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah dan dua pegawai DBKL. awal petang ini.
"Kami dimaklumkan secara rasmi oleh polis dan juga telah mengemukakan surat kepada DBKL bagi meminta kelulusan untuk berkumpul di Dataran Merdeka pada 27 Ogos.
"Dalam pertemuan itu, para pegawai DBKL meminta kami menghantar surat rasmi kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan selepas itu kami terus berjalan ke pejabatnya," kata Anis Syafiqah.
Ujarnya, surat itu diterima oleh Penolong Datuk Bandar dan diberitahu bahawa beliau akan meneliti permohonan itu hari ini juga.
"Dalam mesyuarat itu, polis juga memberitahu 'buat masa ini, kamu semua (penganjur) baik-baik saja tetapi jika apa-apa berlaku, kami perlu maklumkan ibu bapa dan universiti (apa-apa kesalahan) anda," tambahnya.
Tambahnya, mereka telah dipanggil untuk mengadakan perjumpaan rasmi di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.
Ditanya sama ada mereka masih akan berkumpul di Dataran Merdeka jika DBKL tidak memberikan kelulusan, tegasnya, pihak penganjur mematuhi semua syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment