Yang kaya terus kaya, yang miskin papa kedana; benarkah UMNO bela Melayu?
28 Ogos 2016 oleh Datuk Mohd Ariff Sabri
Satu masa dahulu ada seorang bekas menteri mengisytiharkan bahawa pendapatan purata rakyat Malaysia ialah RM5,900 sebulan. Semua orang, terutama pemimpin UMNO bersorak gembira. Inilah hasil perjuangan UMNO kata mereka. Setiap biji beras yang kita makan, adalah hasil perjuangan UMNO, jerit seorang pemimpinnya.
Saya faham konsep purata. Saya percaya ramai lagi yang faham konsep purata. Antara persepsi dan realiti, ada perbezaan besar.
Tapi angka yang disebut itu terlalu luar biasa. Ianya tidak dapat diterima sebahagian besar rakyat Malaysia. Jika seorang Syed Mokhtar masuk ke dalam kumpulan yang hendak dihitung, tentulah pendapatan purata semua orang akan meningkat. Pendapatan Syed Mokhtar seorang akan menaikkan pendapatan semua orang lain.
Sebenarnya, kesenjangan pendapatan antara yang terkaya dan yang termiskin makin melebar. Ertinya dalam bahasa mudah, yang kaya semakin kaya, yang miskin bertambah miskin.
Saya ke pasar minggu Raub, timbul satu soalan, bolehkah saya mendapat RM5,900 sebulan dengan menjual buah?
Perkara ini terjadi bukan sebab ianya kejadian dan peraturan masyarakat yang semula jadi. Ianya bukan ketentuan Tuhan. Tidak juga ia terjadi sebab rezeki secupak tidak jadi segantang. Kenapa orang kampung yang rajin berkerja masih mendapat pendapatan yang rendah?
Ia terjadi akibat dari institusi politik dan ekonomi. Institusi politik mengagihkan kuasa antara kumpulan-kumpulan dalam negara kita. Institusi ekonomi pula menentukan bagaimana sumber pengkayaan diagihkan dalam negara kita.
Kuasa terus berpusat dalam tangan orang atasan dan bangsawan- yakni golongan terpilih. Faedah ekonomi terus berpusat dikalangan yang berkuasa dan yang sedia kaya.
Pemimpin UMNO akan pergi ke merata kampung dan berkata; lihat dari segi purata, orang termiskin, yakni yang 40 peratus terbawah sudah bertambah pendapatan. Dasar kerajaan baik. Pilih dan sokonglah kerajaan. Kerajaan Najib jaga kebajikan rakyat. Najib jaga 30 juta rakyat Malaysia.
Angka purata dan angka peratusan tidak membawa kegembiraan pun kepada golongan Melayu termiskin. Memang benar, jika kita banding tahun 2012 dengan 2014, pendapatan kasar purata Melayu 40 peratus terbawah meningkat sebanyak 40 peratus! Wow, itu besar!
Tapi dari segi pertambahan mutlak, pendapatan kasar purata untuk melayu 40 peratus terbawah hanya RM681 berbanding dengan pertambahan mutlak Melayu 20 peratus teratas sebanyak RM1,964.
Bagi kaum Melayu; meski dari segi peratusan, golongan Melayu yang 20 peratus teratas hanya bertambah 18 peratus pendapatan, realitinya, itu lebih baik untuk mereka. Melayu 40 peratus yang terbawah pula bertambah 40 peratus pendapatan. Namun, pertambahan 18 peratus lebih baik dari pertambaan 40 peratus. RM1,964 tentulah lebih baik dari RM681.
Saya yakin kalangan kaum Melayu yang membentuk 40 peratus terbawah mahukan pertambahan sebanyak RM1,964. Tentu, jika diberi pilihan, Melayu miskin mahukan pertambahan RM,1964 biarpun peratusannya kecil.
Demikianlah angka purata mengelirukan kita dan menyembunyikan realiti. Kesenjangan pendapatan antara yang miskin dan yang kaya terus melebar.
Apa peniaga pasar minggu dan pekan sehari di Bandar Raub, di Pekan Dong, di Sungai Ruan, di Bukit Koman, di Batu Malim, Felda Sungai Klau; semua mereka mahukan pertambahan mutlak. Angka purata tidak bererti apa-apa kepada mereka. Adakah kerajaan mahu dengar rintihan rakyat? – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment