'Biar tikus, lipas dalam penjara bertentangan Islam'
Pusat Hak Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) mengutuk cadangan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah supaya penjara dikerumuni tikus dan lipas yang disokong Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Ketua Eksekutif Centhra Azril Mohd Amin berkata, cadangan sebegitu sukar dipercayai datang daripada seorang yang pernah memiliki jawatan tinggi dan dalam keadaan negara menghadapi abad ke-21.
"Banduan dan tahanan adalah manusia dan menjalani pemenjaraan terutamanya sebagai satu bentuk pemulihan dan bukan sebagai sebahagian daripada satu bentuk keadilan sadis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azril berkata cadangan itu tidak hanya melanggar hak asasi manusia tetapi juga bertentangan ajaran Islam.
"Centhra menjemput bekas hakim Mohd Noor dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan untuk membaca prinsip asas bagi layanan terhadap banduan dan meletakkan prinsip-prinsip ini dalam amalan serta-merta di semua penjara dan tempat tahanan.
"Mereka juga harus membuang, buat selamanya, mana-mana idea menjijikkan mengenai layanan buruk terhadap banduan kita, yang bukan sahaja bertentangan norma hak asasi manusia tetapi bertentangan ajaran Islam terhadap belas ihsan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahan pula, Azril, yang juga seorang peguam berkata cadangan itu bertentangan dengan Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Idea bahawa tahanan harus dilayan di luar batas kemanusiaan oleh sebab jenayah yang mereka lakukan adalah keji dan harus dikecam serta dikutuk, katanya.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment