Dana 1MDB: Switzerland mulakan prosiding jenayah ke atas Falcon
Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland hari ini memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Private Bank kerana gagal menghalang kesalahan berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.
"Keputusan memulakan prosiding adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh siasatan dalam kes 1MDB dan isu-isu yang dibangkitkan dalam keputusan Finma dari awal Oktober 2016.
"OAG mengesyaki kekurangan seliaan dalam organisasi dalaman Falcon Private Bank.
"Adalah dipercayai akibat kekurangan ini, bank itu tidak dapat menghalang pelakuan kesalahan itu yang kini disiasat dalam prosiding jenayah yang berkaitan dengan 1MDB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (Finma) semalam mendedahkan kira-kira AS$ 3.8 bilion dana berkaitan 1MDB disalurkan melalui Falcon Private Bank.
Menurut Finma, dana itu termasuk melalui urusniaga AS$681 juta dan pembayaran balik AS$620 juta enam bulan kemudian.
Pihak berkuasa kewangan itu tidak memberikan butirannya tetapi jumlah itu sepadan dengan AS$ 681 juta yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dirujuk sebagai RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran ketika itu apabila perkara berkenaan didedahkan pada Julai tahun lalu.
Najib mendakwa wang itu adalah "derma dari Arab" dan AS$620 juta daripada wang itu kemudiannya dikembalikan.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment