'Mengapa KJ bersetuju baju merah?'
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk tangkapan yang dibuat terhadap Pengerusi BERSIH , Maria Chin Abdullah di Langkon ketika dalam perjalanan ke Kota Marudu, Sabah semalam.
Pemuda AMANAH berpandangan, tangkapan ini adalah cubaan untuk menakut-nakutkan rakyat yang telah muak dengan pelan pihak-pihak berkepentingan yang cuba memanipulasi proses pilihan raya kelak untuk mengekalkan kepimpinan rasuah.
Pada masa sama tidak kedengaran khabar terbaru mengenai pelaku samseng baju merah yang telah memukul Pak Cik Kusaini seperti yang viral di media-media sosial baru-baru ini.
Adakah mereka sudah dihadapkan ke mahkamah? Hal ini sepatutnya diutamakan pihak berkuasa.
Dengan segala kekasaran yang dilakukan kumpulan samseng baju merah, Pemuda AMANAH berasa hairan bagaimana Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar boleh membenarkan anggota Umno menyertai kumpulan baju merah dalam kenyataannya kepada Astro Awani semalam.
Jelas beliau tidak konsisten dan bersetuju dengan tingkah biadab kumpulan baju merah.Justeru kami menuntut agar pihak berkuasa lebih adil dalam menangani mood perubahan rakyat.
Keselamatan rakyat dalam memperjuangkan proses pilihan raya yang adil dan bersih jauh lebih penting daripada tangkapan-tangkapan politik sebegini.
SANY HAMZAN ketua Pemuda AMANAH merangkap pengarah mobilisasi parti berkenaan
KJ minta polis tutup laluan peserta BERSIH5
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta polis menutup semua laluan yang akan digunakan peserta BERSIH5 pada 19 November ini.
Kata Khairy polis bukan saja diharap tidak membenarkan Dataran Merdeka dijadikan tempat perhimpunan itu malah laluan yang akan digunakan ke kawasan berkenaan perlu ditutup.
Katanya segala langkah perlu wajar diambil supaya tiada perarakan bermula dari tempat yang sudah dikenal pasti.
“Kita sudah tahu lokasi berkumpul dan laluan akan digunakan kumpulan BERSIH untuk ke Dataran Merdeka, jadi saya harap polis menutup jalan tersebut supaya tiada laluan boleh digunakan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Anggota parlimen Rembau itu bercakap kepada media di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam.
BERSIH5 akan diadakan pada November ini untuk menyatakan lima tuntutan kepada kerajaan, iaitu pilihan raya yang adil dan bersih, kerajaan yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, mendapatkan kebebasan dan hak membantah, serta memperkasa Sabah dan Sarawak.
Kempen mempromosi perhimpunan itu dijalankan kumpulan BERSIH setiap hujung di beberapa lokasi terpilih. Ia masih berlangsung walaupun berlaku beberapa insiden keganasan sebelum ini.
Menurut Khairy langkah menutup laluan ke Dataran Merdeka perlu diambil kerana BERSIH5 dikhuatiri boleh cetuskan keadaan huru-hara.
“Kita tidak mahu kekecohan seperti yang berlaku pada BERSIH3 lalu berulang memandangkan pelbagai tindakan keterlaluan dilakukan waktu itu termasuk terbalikkan kereta polis serta banyak kedai pecah. Perhimpunan BERSIH ini boleh cetuskan keadaan huru-hara," katanya.
Sementara itu Khairy berkata kemunculan kumpulan baju merah adalah kesan tindak balas terhadap BERSIH5.
“(Baju) Merah hanya hendak tunjuk mereka menentang BERSIH, kalau BERSIH tidak buat-buat apa sudah tentu merah pun tidak akan buat apa-apa. Jadi bebannya terletak di atas BERSIH. Cara terbaik ialah tidak membenarkan perhimpunan BERSIH5 berlaku," katanya.
Khairy juga membayangkan tindakan disiplin akan dikenakan ke atas mana-mana ahli Pemuda Umno yang terlibat dalam BERSIH.
"Kita akan ambil tindakan sebab himpunan BERSIH menentang kerajaan Umno dan PM (perdana menteri), ini melanggar disiplin parti,” katanya.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment