IMDB TERNYATA LEBIH KEBAL BERBANDING IMUNITI AHLI2 PARLIMEN
Petang ini bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah diarahkan ke Bukit Aman untuk disiasat berhubung ucapan perbahasannya di Parlimen yang didakwa melanggar sumpah rahsia ketika menjadi anggota kabinet dahulu.
Selepas beliau, sudah tentu giliran Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal pula diambil keterangan atas kesalahan yang sama. Ketiga-tiga mereka akan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA kerana mendedahkan perkara-perkara berkaitan 1MDB yang didakwa pernah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.
Muhyiddin dan Shafie, sebelumnya turut dipecat daripada kabinet dan UMNO kerana lantang mengkritik dan mempertikaikan perjalanan serta hutang syarikat pelaburan kerajaan yang ditubuhkan oleh Najib Razak itu.
Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang pula dipenjarakan dibawah Sosma selepas membuat laporan ke beberapa negara, juga mengenai 1MDB setelah laporan-laporan yang mereka buat di negara sendiri tidak menghasilkan apa-apa tindakan.
Sebelum itu, beberapa perkara turut berlaku seperti pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara, pertukaran dan kacau-ganggu terhadap pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara serta beberapa insiden lain yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Semuanya hanya kerana 1MDB dan mahu menyucikan syarikat pelaburan tersebut.
Dilihat daripada apa yang berlaku kepada tiga bekas menteri yang disiasat di bawah OSA, tidak dinafikan bahawa 1MDB akan terus merupakan sebuah "entiti yang hebat dan tidak boleh ditegur".
Sesiapa saja yang menegur dan mengkritiknya, bersedialah menghadapi bahayanya, manakala yang sanggup mempertahan dan membelanya, melimpahlah pula ganjaran dan anugerah yang akan diterima.
1MDB bukan saja terlihat tidak lut daripada segala undang-undang yang ada, malah ia lebih kebal berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen ketika berucap di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, kita biasa mendengar apabila Ahli Parlimen menyentuh sesuatu yang sensitif ketika berucap di Parlimen, mereka selalunya akan dicabar supaya mengulanginya di luar Dewan Rakyat agar tindakan undang-undang dapat diambil.
Tetapi kali ini, tanpa sesiapa mencabar ketiga-tiga bekas menteri itu mengulanginya di luar Parlimen, sebaliknya hanya berdasarkan apa yang dibangkitkan oleh Speaker Dewan Rakyat dan kemudian disusuli dengan laporan polis oleh dua NGO pendedak, mereka terus disiasat dan diambil keterangan.
Ia secara langsung dan tidak langsung menunjukkan 1MDB lebih gagah dan perkasa berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen.
Dalam hal ini, seorang peguam berpengalaman dan bekas menteri, Zaid Ibrahim menyatakan, menyentuh sesuatu perkara secara umum tidaklah boleh ditafsirkan sebagai mendedahkan rahsia kerajaan atau melanggar sumpah kerahsiaan, kecuali mendedahkan butiran minit mesyuarat kabinet secara khusus.
Jika seseorang bekas menteri yang bercakap secara umum mahu ditafsirkan sebagai melanggar sumpah rahsia, di zaman Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri iaitu selepas pemilihan 1987 di mana ramai antaranya memilih untuk berbalah dan menyerangnya, termasuk menyentuh berkaitan berbagai syarikat kerajaan, mereka ketika itu tentunya lebih dianggap melanggar sumpah kerahsiaan.
Namun, pernah kita mendengar sesuatu tindakan diambil oleh Tun Mahathir kepada bekas-bekas menteri yang menentangnya?
Di sebalik ramai yang telah dan sedang diambil tindakan kerana menyentuh perkara berkaitan 1MDB, Jho Low yang sekarang entah di dunia mana sedang berhiburnya, tetap merupakan orang yang paling bertuah sekali di era Najib ini.
Beliau pasti akan tersenyum dan ketawa menyaksikan satu demi satu insiden yang berlaku ini, meskipun segala-galanya berpunca daripada caturan yang dilakukannya. (SH 31/10/2016).
Posted by Kedah Lanie
No comments:
Post a Comment