Pages

Tuesday, 29 November 2016

Pembalakan Kelantan - Bebaskan tahanan Orang Asli atau SUK Kelantan dikepung

Selasa, 29 November 2016
Karikatur soladariti Orang Asli viral di media sosial hari ini.
Karikatur soladariti Orang Asli viral di media sosial hari ini.
Orang asli bersolidariti di hadapan Balai Polis IPD Gua Musang untuk teman mereka yang ditangkap hari ini.
Orang asli bersolidariti di hadapan Balai Polis IPD Gua Musang untuk teman mereka yang ditangkap hari ini.

Bebaskan tahanan Orang Asli atau SUK Kelantan dikepung

Pemuda Amanah Kelantan mendesak supaya kesemua Orang Asli di Gua Musang yang ditangkap ekoran operasi merobohkan halangan (blocked) di laluan pengeluaran hasil balak hari ini segera dibebaskan.
Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, penangkapan Orang Asli di hulu negeri itu hanya kerana mereka mempertahankan hutan yang sedang digondol rakus oleh pembalak berlesen adalah akibat kelemahan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan.
“Jika mereka terus menangkap Orang Asli di sana, ini bermakna tiada beza antara Kelantan dan Israel. Kezaliman tetap sebuah kezaliman walau dilakukan oleh sang kopiah putih berjubah labuh.
“Kita perlu mengepung Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan), biar mereka rasa bagaimana ‘nikmat’ dikepung. Bebas Orang Asli atau SUK dikepung!” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas langkah kerajaan negeri Kelantan menyelesaikan konflik antara masyarakat Orang Asli dengan syarikat pembalak, Hazmi mempersoal sejauhmana proses rundingan melibatkan kedua-dua pihak terbabit telah dilakukan.
“Sehingga kini, berapa kalikah wakil Kerajaan Kelantan telah membuat perundingan bersama Orang Asli bagi membuat keputusan yang bersifat situasi menang-menang ini?
“Jelas, MB (Menteri Besar) dan TMB (Timbalan Menteri Besar) Kelantan selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap isu pembalakan dan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan membela kebajikan rakyat telah gagal sepenuhnya dalam hal ini,” bidasnya.
Menyifatkan penindasan dan ancaman terhadap komuniti Orang Asli di negeri itu seperti nasib dialami rakyat Rohingya, beliau menyeru supaya memperbanyakkan doa.
“Doakan semoga Orang Asli diberi perlindungan. Banyakkan membaca Qunut Nazilah, agar pihak yang menzalimi diberi keinsafan atau dijatuhkan bala dari Allah.
“Jika kita bersedih dengan nasib rakyat Rohingya yang dizalimi oleh rejim Myanmar, maka apalah bezanya antara Rohingya dan Orang Asli di Gua Musang yang sama dizalimi oleh rejim pemerintah ini,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 23 November lalu dilapor berkata kerajaan negeri akan mengenakan tindakan undang-undang ke atas Orang Asli jika rundingan supaya membuka halangan terbabit gagal.
Siang tadi gerombolan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bersama polis, FRU dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu dan memusnahkan halangan berkenaan dan menangkap 41 Orang Asli.
Turut dirosakkan beberapa rumah Orang Asli manakala telefon bimbit dan kamera dirampas. Kesemua mereka yang ditahan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

No comments:

Post a Comment