Lambang Pas jadi pengesat kaki?
Alas kaki lambang Pas dikatakan dijual di sebuah pasar raya di Sabah
Kecoh di media sosial apabila imej pengesat kaki berlogokan bendera Pas dikatakan dijual di sebuah pasar raya di Sabah.
Ini termasuklah pesuruhjaya Pas Terengganu Ustaz Saiful Bahri Mamat yang mendesak pasar raya berkenaan memberi penjelasan.
"Harap pasar raya Giant beri penjelasan sebelum orang ramai merasa keluh-kesah dengannya. Ditemui dijual di Giant. Tawau. Buat pengesat kaki?" soalnya dipetik dari status Facebook beliau.
Sumber memberitahu Malaysia Dateline salah seorang yang memegang pengesat kaki berlogokan Pas itu adalah rakannya di Tawau, Sabah.
Terdapat pula pihak yang memberitahu pembekal pengesat kaki Pas itu beralamat di Selangor.
Walau bagaimanapun, sebahagian netizen menyifatkan penemuan berkenaan bukan satu masalah besar seperti dapat dilihat pada ruangan komentar status Facebook Ustaz Saiful itu.
"Masuk nerakakah? Berdosa besarkah?" soal Nazaruddin Redzuan manakala Alan Dani pula menulis, "Biarlah. Bukan berdosa pun. Kalau boleh buatlah untuk lap najis sekali."
Sementara itu, Mohamad Fakhruddin menganggap tidak berdosa kerana tidak menghina Islam.
"Bukan hina Islam. Bendera je pun. Lainlah ada kalimah Allah ke kat situ," ujarnya.
Tidak kurang juga netizen yang bercadang untuk mendapatkan pengesat kaki berlogokan bendera Pas itu.
"Tolong postage ke Semenanjung. Nak satu. Khas nak letak kat tandas. Please," kata Abd Mutalib.
Lain pula reaksi penyokong Pas yang menganggap perlu wujud rasa hormat walaupun pengesat kaki itu tidak tertera ayat suci Al-Quran.
"Dari segi hukum agama memang tak salah. Tiada ayat suci Al-Quran di situ tapi kena pandang dari sudut kesopanan dan keharmonian.
"Sopan ke lambang sesebuah parti dijadikan alas kaki?" soal Wan Azhan Wan Ali.
Tidak profesional permainkan logo parti lawan
Menghina dan mempermainkan logo parti lawan adalah sangat tidak profesional, tegas Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus.
Beliau mengulas gambar alas kaki menyerupai logo Pas yang viral di media sosial sejak semalam.
"Saya sangat dukacita sekiranya ia dikilangkan dengan tujuan untuk menghina mana-mana parti politik tanah air.
"Walaupun kami dari Parti Amanah Negara berbeza pandangan terhadap beberapa parti politik yang ada; kami mengutamakan kekuatan berhujah untuk menegakkan idea dan fikrah yang kami dukung," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, parti Amanah lebih sibuk dengan agenda menyelamatkan negara.
"Memastikan tadbir urus negara yang adil, bebas, menguntungkan rakyat, jauh dari rasuah, penipuan, pecah amanah, ketirisan dan pembaziran.
"Umno-BN dan sekutu baharunya perlu diturunkan dan dikalahkan melalui sistem demokrasi yang berjalan secara bersih," jelasnya.
Hasanuddin juga berkata, parti Amanah Negara mahukan sebuah Malaysia yang diurus secara tatakelola yang baik di bawah naungan Maqasid Syariah.
No comments:
Post a Comment