Pages

Friday 11 November 2016

[Video] "T/Menteri Pendidikan "BEREMOSI" & Pelajar UPSI mahu POSTING la nak tunggu sampai bila?"...Mahasiswa - Tanpa saya sedari, air mata menitis ketika...

Jumaat, 11 November 2016
Tanpa saya sedari, air mata menitis ketika sedang menulis baris-baris akhir dalam kenyataan ini.
KENYATAAN MEDIA : 9 NOVEMBER 2016
PROTES MAHASISWA MENUNTUT KERAJAAN BATALKAN PEMOTONGAN BAJET UNIVERSITI
Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN) pada Isnin 7 November lalu telah mengeluarkan kenyataan menuntut pihak Kerajaan Malaysia mengkaji semula serta membatalkan pemotongan belanjawan universiti-universiti awam di Malaysia pasca pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri. Kami mahasiswa berharap melalui tuntutan tersebut, pemotongan bajet universiti akan dibatalkan atau sekurang-kurangnya dikaji semula. Namun sehingga hari ini tiada tanda-tanda bahawa pihak kerajaan mempertimbangkan tuntutan tersebut, malah tiada respon mahupun penerangan yang memberangsangkan daripada mana-mana menteri. Oleh itu, pada hari ini, kami tekad ke Parlimen untuk protes secara aman, terus kepada pihak yang dituntut, iaitu Kerajaan Malaysia.
Antara sebab terpenting protes ini dilakukan adalah kerana KESATUAN melihat bahawa amatlah tidak adil peruntukan kepada pendidikan tinggi dipotong kerana pendidikan merupakan hak asasi dan keperluan utama dalam konteks pembangunan insan dalam sesebuah negara. Seharusnya para ahli parlimen tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang terutamanya Menteri Pendidikan Tinggi harus terus membahaskan permasalahan ini bagi mendapatkan solusi yang tuntas di samping merangka pelan strategik berkesan bagi mengatasi pengurangan peruntukan yang membebankan universiti.
Perbelanjaan Mengurus (Operating Expenditure) untuk Universiti Awam telah dikurangkan dengan kadar purata 19.2%. Dalam 20 universiti awam, 15 daripadanya telah dikurangkan bajet manakala 5 universiti penyelidikan juga tidak terkecuali. Antaranya, UKM adalah universiti yang menerima pemotongan bajet bagi perbelanjaan mengurus yang paling tinggi iaitu 31.16%, diikuti pula dengan Universiti Putra Malaysia iaitu 30.19%. Pada masa yang sama, Universiti Malaya, sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai kedudukan paling tinggi di QS iaitu ke-133, juga dipotongkan perbelanjaan mengurus sebanyak 20.24%. Nasib yang sama juga diterima oleh UITM yang merupakan 'anak emas' kerajaan. Adakah universiti awam akhirnya akan meningkatkan kadar bayaran seperti bayaran yuran kursus agar dapat mengimbangi perbelanjaan, di mana pelajar universiti akan juga menjadi mangsa?
Walaupun pihak kerajaan menafikan bahawa yuran pengajian tidak akan dinaikkan, namun kesan pemotongan belanjawan universiti awam kian dirasai sedikit demi sedikit. Seperti yang telah dinyatakan dalam portal Kementerian Kewangan, potongan keseluruhan bagi Kementerian Pengajian Tinggi adalah sebanyak 10.27% iaitu dari RM13.378 bilion kepada RM12.132 billion. Manakala bagi Universiti Awam telah berkurang sebanyak 23.80% iaitu dari RM 7.573 billion kepada RM 6.117 billion. Bagi fasa permulaan ini, yang paling terkesan adalah kualiti pengurusan universiti di mana pihak pengurusan terpaksa mengenakan bayaran kepada mahasiswa yang ingin menggunakan beberapa fasiliti di dalam kampus seperti dewan kuliah untuk menganjurkan program luar kuliah. Apabila penganjuran aktiviti-aktiviti untuk membentuk budaya ilmu semakin terhad ruang dan peluangnya di universiti, di mana perginya nilai sebenar universiti yang dikenali sebagai gedung ilmu?
Tindakan pemotongan belanjawan universiti oleh kerajaan ini bukan sahaja bakal terus membebankan pelajar, tetapi juga memberi impak kepada warga universiti yang lain, termasuklah para pensyarah dan staf universiti. Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, di mana sebahagian para pensyarah terpaksa dipotong gajinya dan juga berniaga bagi menampung kos pembangunan universiti serta tabungan kebajikan pelajar. Kami sebagai mahasiswa amat menghargai pengorbanan para pensyarah kami ini, namun seharusnya bukanlah itu tugas yang sewajarnya terbeban di bahu mereka. Kami percaya para pensyarah dan pihak pengurusan universiti juga sedar bahawa universiti menanggung kesempitan dari sudut kewangan akibat pemotongan bajet universiti oleh Kerajaan Malaysia. Lihat sahaja apa yang berlaku kesan pemotongan bajet universiti pasca Bajet 2016, kira-kira satu pertiga daripada 507 orang professor berstatus kontrak di universiti awam tidak dilanjutkan perkhidmatan. Apa lagi yang kita boleh jangkakan mengenai kualiti pendidikan tinggi di negara ini, bila mana kebajikan pelajar dan pendidik diabaikan?
Tidak cukup dengan memangsakan pendidikan, keperluan asas bagi rakyat juga menjadi taruhan kepada ketirisan ekonomi akibat penyelewengan dan rasuah yang berleluasa dalam kepimpinan negara. Selain cukai GST, kenaikan harga bahan api dan minyak masak cukup memberi kesan dan bebanan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah serta para peniaga yang sudah tentu memerlukan modal yang tinggi akibat kenaikan harga barangan berikutan pemansuhan subsidi kerajaan. Dan akhirnya, kesan ‘domino’ juga bakal tertimpa kepada mahasiswa sekiranya pengusaha kafe dan restoran terpaksa menaikkan harga makanan di dalam kampus akibat modal dan kos overhed yang tinggi. Tekanan ekonomi pula semakin meruncing berikutan skandal 1MDB yang masih belum selesai langsung menyebabkan pelabur hilang keyakinan untuk melabur hingga nilai ringgit jatuh.
Oleh itu, apakah kita sebagai rakyat masih mahu terus berdiam diri? Tidakkah kita fikirkan apa nasib anak bangsa kita di masa hadapan, atau sekurang-kurangnya nasib kita sendiri pada masa akan datang? Sanggupkah lagi kita menanggung segala kesusahan sedangkan pemimpin terus-menerus senang lenang mengambil manfaat daripada kesusahan rakyat?
Menuju Bersih 5
Kurang dua tahun daripada sekarang, kita bakal melalui Pilihanraya Umum ke-14. Pilihan di tangan kita, rakyat Malaysia sama ada mahukan perubahan atau rela untuk terus dipijak dan ditindas. Perlu kita maklum bahawa persempadanan semula sempadan kerusi yang dicadangkan oleh SPR pada tahun ini tidak munasabah dan bertujuan untuk menjamin kerajaan hari ini mengekalkan status quo mereka untuk terus berkuasa. Merujuk kepada laporan Projek Integriti Pilihan Raya (2014), Malaysia terletak di kedudukan yang rendah dalam aspek integriti apabila berada di tangga 66 daripada 73 negara yang menjalankan pilihanraya parlimen dan presiden dari Julai 2012 hingga Disember 2013. Sehubungan dengan itu, kami menggesa pihak berwajib untuk memulihkan pengasingan kuasa eksekutif, perundangan, dan kehakiman untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan kawalan ke atas institusi-institusi awam. Kami juga tidak akan berputus asa untuk mendesak kerajaan agar memansuhkan akta-akta yang menyekat hak asasi dan kebebasan yang dijamin di bawah perlembagaan Malaysia seperti Akta Hasutan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Rentetan daripada sebab-sebab di atas, tiada sebab lagi untuk kita mahasiswa dan seluruh rakyat Malaysia terus berdiam diri. Dengan ini, kami daripada Kesatuan Mahasiswa Malaysia mengumumkan sokongan penuh kami terhadap perhimpunan BERSIH 5 yang bakal dianjurkan pada 19 November ini. Siapa kata tunjuk perasaan di jalanan tidak mampu mengubah apa-apa? Tun Dr Mahathir juga baru-baru ini menekankan bahawa kita perlu belajar dari sejarah melalui kenyataan beliau bahawa Malayan Union juga berjaya dijatuhkan dengan demonstrasi jalanan. Oleh itu, apa harus kita tunggu lagi? Ayuh mahasiswa dan rakyat Malaysia, kita turun pada 19 November ini di Dataran Merdeka, menuntut pilihanraya yang adil dan bersih agar kita dapat sama-sama menyuarakan hasrat rakyat menuju perubahan yang lebih baik untuk negara yang kita cintai ini.
Kita rakyat, hanya ada dua pilihan sekarang. Sama ada bangkit melawan dan menang; ATAU diam dan terus dipijak. Percayalah kepada kuasa rakyat. Buktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia, rakyat bermaruah. Satukan Tenaga, Malaysia Baru untuk kita!
Anis Syafiqah Binti Md Yusof
Pengerusi,
Kesatuan Mahasiswa Malaysia.

No comments:

Post a Comment