Al Jazeera dedah komplot jual bayi libatkan penjawat awam
Al Jazeera mendedahkan rangkaian pengedar, doktor dan pegawai kerajaan terbabit dalam sindiket menjual bayi, di mana bayi lelaki yang berwarna kulit cerah lebih mahal.
PETALING JAYA: Pasukan laporan siasatan Al Jazeera tampil dengan dokumentari sensasi menerusi penyamaran lebih 4 bulan untuk mendedahkan sindiket penjualan bayi di Malaysia.
Program 101 East yang pernah memenangi anugerah itu membongkar rangkaian pengedar, doktor dan pegawai kerajaan, semuanya mengaut keuntungan daripada wanita dan kanak-kanak.
“Malaysia: Bayi untuk dijual” akan disiarkan di rangkaian TV antarabangsa itu pada jam 10.30 malam waktu UK (6.30 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Menurut kenyataan akhbar Al Jazeera, wartawan yang menyamar itu mendapati:
1. Bayi diperdagangkan seperti komoditi di Malaysia;
2. Harga ditentukan oleh bangsa, warna kulit, jantina dan berat;
3. Doktor dan pegawai kerajaan korup memalsukan dokumen kelahiran; dan
4. Pengkritik menyalahkan penguatkuasaan undang-undang rumit di Malaysia atas kewujudan pasaran bawah tanah yang menyasarkan pasangan tidak boleh mempunyai anak sendiri.
Dalam siasatan selama 4 bulan, wartawan 101 East Chan Tau Chou mendapati betapa mudahnya membeli bayi di Malaysia, di mana pengedar menawarkan pelanggan berpotensi katalog mengandungi gambar wanita hamil untuk dipilih.
FMT.
Polis dinasihat jangan ganggu aktivis, siasat sindiket jual bayi di Facebook
KUALA LUMPUR, 26 NOV: Pihak berkuasa digesa menyiasat secara menyeluruh dan menangkap dalang di sebalik aktiviti pemerdagangan bayi yang semakin berleluasa di Malaysia susulan pendedahan media antarabangsa mengenai jenayah itu baru-baru ini.
Al-Jazeera melalui program 101 East pada Khamis lepas menayangkan dokumentari berkaitan jenayah itu yang antara lain memaparkan bagaimana bayi dijual dengan mudah di laman sosial, Facebook dengan terdapat dakwaan penglibatan pihak berkuasa membantu sindiket.
Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar harus memandang serius isu berkenaan dengan mengambil tindakan pantas menyiasat dan menangkap sindiket yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.
“Daripada menahan (Pengerusi BERSIH 2.0) Maria Chin Abdullah dan kerap mengganggu aktivis hak asasi manusia, adalah lebih baik Ketua Polis Negara menggunakan lebih banyak masa dan tenaga pasukannya dengan membanteras jenayah seperti ini.
“Apatah lagi, daripada menyiasat pemimpin pembangkang, aktivis dan rakyat berdasarkan status Facebook atau tweet mereka, polis perlu menyiasat mereka yang dengan berani menjual bayi di Facebook seperti yang didedahkan dokumentari berkenaan,” katanya.
Berdasarkan dokumentari itu juga, menurut Bee Yin, adalah jelas bahawa aktiviti pemerdagangan bayi itu tidak akan berjalan dengan lancar tanpa bantuan sesetengah pegawai kerajaan yang korup dari pihak polis dan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Mereka yang direkodkan dalam dokumentari itu melalui kamera tersembunyi acapkali memberitahu bahawa mereka memberi rasuah kepada pegawai kerajaan.
“Justeru, kami menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan pantas menyiasat perkara itu dan membawa pegawai yang terlibat ke muka pengadilan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kerajaan harus memainkan peranan dengan memudahkan prosedur berhubung pengambilan anak angkat bagi memastikan pasangan yang benar-benar memerlukan anak, tidak terjebak dengan aktiviti pembelian bayi melalui sindiket.
Malah katanya, bayi yang dijual melalui sindiket itu dibimbangi turut dibeli oleh pedofilia dan sindiket peminta sedekah bagi menggerakan ‘perniagaan’ mereka.
“Kami ingin mengingatkan bahawa Putrajaya telah memeterai perjanjian di Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan Hak Kanak-kanak. Hak kanak-kanak untuk hidup dan diberi perlindungan daripada dieksploitasi telah jelas dicemari dengan aktiviti jual-beli bayi.
“Oleh itu, kerajaan harus menghormati hak itu dan bertindak mengatasinya dengan segera,” tegas Bee Yin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment