Menuntut kembali negara kita melalui Bersih 5
Salah satu keunikan negara kita adalah jangka hayat panjang rejim pemerintah yang tidak pernah sekalipun kalah dalam pilihan raya umum sejak merdeka enam dekad yang lalu. Walau bagaimanapun, rekod unggul ini tiada kaitan dengan prestasi atau populariti. Sebaliknya, ia dicapai atas kemampuan luar biasa kerajaan untuk terus memastikan peraturan permainan diatur untuk memihak mereka.
Buktinya jelas apabila kita meneliti strategi persempadanan semula kawasan pilihan raya yang telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun. Malah, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri pernah mengakui bahawa semakan sempadan pilihan raya sering dijalankan dengan matlamat untuk memastikan keputusan politik yang memihak kepada parti pemerintah.
Hasil daripada itu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum yang lepas dengan 60 peratus kerusi parlimen walaupun hanya mendapat 47 peratus undi popular, manakala gabungan pembangkang hanya memenangi 40 peratus kerusi meskipun menerima 51 peratus undi. Jelas sekali, kehendak pengundi tidak dicerminkan pada keputusan pilihan raya. Dengan cadangan persempadanan semula yang baru diumumkan oleh SPR, adalah jelas bahawa kehendak pengundi bukanlah keutamaan kerana agihan pengundi akan bertambah tidak sekata.
Tidak bertindak itu bukan satu pilihan
Terdapat banyak lagi contoh yang boleh dipetik untuk membuktikan bahawa persempadanan semula yang dicadangkan adalah tidak lebih daripada skim penipuan pilihan raya secara besar-besaran yang bertujuan bukan sahaja untuk mencuri kerusi daripada pembangkang tetapi juga untuk merampas hak dan nilai undi berjuta-juta pengundi.
Dalam keadaan begini, tidak bertindak itu bukan satu pilihan. Setiap rakyat Malaysia yang percaya kepada masa depan demokrasi negara ini perlu menegaskan hak mereka untuk menolak cadangan persempadanan semula ini. Bantahan rasmi perlu difailkan oleh semua pihak yang berkepentingan. Dengan kerjasama Bersih 2.0 dan badan-badan aktivis lain, kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang telah pun mengemukakan petisyen bantahan terhadap SPR. Wakil rakyat dan kumpulan-kumpulan pengundi juga telah digerakkan di kedua-dua negeri tersebut dan juga di seluruh negara. Jika bantahan ini tersekat atau ditolak, maka semakan kehakiman harus dirujuk.
Walau bagaimanapun, proses rasmi dan tindakan undang-undang sudah tentu sukar berjaya apabila institusi awam negara nyata tidak bersikap berkecuali. Dalam hal ini, tidak ada yang lebih kuat dan lebih berkesan sebagai alat bantahan daripada suara kolektif orang ramai yang berarak secara aman di jalan raya.
Jangan kita lupa, “tsunami politik” pada tahun 2008 sebahagian besarnya adalah akibat daripada perhimpunan Bersih pertama pada tahun 2007 serta demonstrasi Hindraf tidak lama selepasnya. Malah, adalah jelas keputusan pilihan raya umum 2013 telah didorong oleh semangat orang ramai berikutan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 yang berjaya menyatukan imaginasi rakyat seluruh negara. Kerajaan sendiri tidak mampu mengabaikan puluhan ribu rakyat Malaysia yang berdepan gas pemedih mata dan meriam air untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil. Hasilnya, beberapa pembaharuan pilihan raya telah dilaksanakan, termasuk penggunaan dakwat kekal untuk memastikan pengundian berganda tidak berlaku.
Tahun lalu, perhimpunan Bersih 4 menyaksikan setengah juta orang berkumpul di Kuala Lumpur dalam amalan kebebasan berhimpun terbesar yang pernah dilihat di negara ini. Namun perjuangan masih belum berakhir. Cadangan persempadanan semula terkini membuktikan bahawa sang penguasa semakin terdesak dan sanggup menggunakan apa-apa cara, busuk atau adil, untuk memastikan kelangsungan pemerintahan mereka.
Maka, adakah kita akan duduk berdiam dan membolehkan mereka untuk mencuri masa depan kita sebagaimana yang mereka telah lakukan terhadap cukai kita? Atau adakah kita akan sekali lagi berdiri teguh untuk mempertahankan hak kita?
Datanglah 19 November ini, marilah kita menuntut kembali negara kita melalui Bersih 5. – Roketkini.com
*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP
No comments:
Post a Comment