Buka semula kertas siasatan 1MDB
PUTRAJAYA - Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyiasatnya tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, cara penyiasatan tertutup dan rumusan penyiasatan yang dibuat gagal memberi keyakinan kepada rakyat malah menimbulkan lebih banyak persoalan.
"Oleh kerana skandal ini sudah jadi perhatian seluruh dunia, maka Malaysia perlu buktikan negara ini punyai sistem keadilan yang cekap dan berintegriti.
"Buktikan juga kita mampu menjalankan tugas tanpa rasa takut dan gentar serta bebas dari campur tangan mana-mana pihak," katanya ketika ditemui di hadapan Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, dengan wujudnya bukti-bukti baru turut membuatkan Amanah lebih yakin untuk menggesa SPRM meneruskan siasatan.
"Pendedahan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan Pejabat Peguam Negara Switzerland sudah cukup untuk mendesak SPRM membuka semula siasatan penyelewengan wang 1MDB ini.
"SPRM harus dapatkan keterangan dan dokumen daripada semua saksi penting dan suspek untuk melengkapkan siasatan," katanya lagi.
Beliau juga turut mendakwa kegagalan SPRM untuk membuka semula kes ini akan menguatkan andaian ramai bahawa badan ini sudah hilang integriti.
"Jika itu terjadi maka ia merupakan bencana yang cukup besar untuk masa depan Malaysia," katanya.
Sebelum ini, Hisbah Centre for Reform (Hisbah) mendesak rakyat Malaysia bersama-sama mengesan dan membawa setiap pesalah dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, hanya dengan usaha begini maruah negara yang tercalar akibat skandal 1MBD dapat diperbaiki dan Malaysia kembali dihormati.
SH.
No comments:
Post a Comment