Pages

Wednesday, 25 January 2017

MB Perak diminta PERJELAS Projek Lebuhraya JELAS (Jelapang-Selama-Batu Kawan), Projek 'Jalan Bunian' ke? Jelajah Desa Kit Siang: Bukti Melayu Pulau Pinang Tidak Ditindas

Khamis, 26 Januari 2017

IPOH, 25 JAN: Bagaimana mungkin Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir tidak tahu kewujudan projek Lebuh Raya Jelapang-Selama-Batu Kawan (Jelas) sedangkan beliau sendiri yang mengumumkan projek itu lima tahun lalu?
Merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh 11 Mei 2010, Zambry dilapor menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara syarikat yang menguruskan projek itu antara Beta Mutiara Technologies (BMT) dengan ELAF Bank Bahrain.
Selain itu, Zambry juga dilapor mengumumkan projek tersebut dalam beberapa program, termasuk di hadapan Pemangku Sultan Perak ketika itu, Sultan Nazrin Muhibuddin Shah pada Julai 2010.
“Bagaimana Zambry boleh mengatakan projek ini misteri sedangkan ia dalam pengetahuan beliau selaku menteri besar?
“Saya tak kata beliau tipu, saya anggap beliau lupa,” kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi dalam sidang media di sini, tadi.
Roketkini.com

Jelajah Desa Kit Siang: Bukti Melayu Pulau Pinang Tidak Ditindas


Ada air mata yang menitis pagi Sabtu lalu, ketika duduk bersimpuh di sebelah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; usai kenduri lauk kampung, dengan hidangan ikan bakar, air asam, gulai lemak siput dan nasi putih panas-panas.
Wanita pertengahan usia itu tidak sempat menyeka air mata yang jatuh ke dagu, hatinya rasa terharu setelah perjuangan 43 bulan membuahkan hasil yang begitu menggembirakan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke Kampung Permatang Tok Subuh pagi itu, dengan membawa khabar gembira yang langsung tidak diduga. Mereka ditawar rumah baru, dengan harga yang luar biasa rendah, buat mengganti rumah sedia ada yang bakal diroboh.
Rumah baru mereka akan dibina di sebuah tanah milik kerajaan negeri, setelah perjuangan menuntut hak akhirnya berakhir di mahkamah, dan keputusan memihak kepada pemaju.
Hasil usaha murni persatuan penduduk dengan kerjasama daripada pihak kerajaan negeri, Kampung Permatang Tok Subuh ternyata tidak akan lenyap angkara tangan-tangan kaum pemodal, yang hanya tahu mengira untung, sambil mengenepikan perasaan manusiawi.
Namun itu sahaja tidak cukup untuk membuat air mata penduduk Tok Subuh tumpah ke tanah.
Tempat harimau, anakonda
“Saya tak sangka yang Lim Kit Siang akan sanggup mai ke kampung kami.
“Dulu siapa pun tak tau tentang Kampung Tok Subuh. Sini dulu ada rimau dengan anakonda saja,” ujar Pak Jab, jejaka berusia emas yang digelar ayahanda oleh penduduk setempat.
Perasaan yang sama turut disambut anak-anak mahasiswa yang bersetuju bahawa tindakan Kit Siang hadir ke ulu banat Bukit Minyak itu adalah cocok dengan sikap negarawan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut. Memang bukan kerja dia untuk merantau dari Utara ke Selatan, sedangkan kawasan beliau lebih hampir ke Tambak Johor sana.
Usahanya untuk memecah tembok-tembok perkauman dan melerai persepsi jahat anti-Melayu Islam, ternyata menggugat pihak lawan. Apatah lagi dengan khabar angin bahawa pilihanraya umum bakal dijangka bakal tiba tidak lama sahaja lagi.
Kit Siang masuk ke kampung Melayu, bertemu orang ramai yang selama ini hanya melihatnya di kaca televisyen, dengan dibingkai dan dimomok sebagai “si komunis cauvinis Cina” yang mahu menjahanamkan negara, menjualnya kepada Singapura, dan membina daulah Kristian di Malaysia.
Orang kampung ternyata tidak terusik barang sedikit pun dengan fitnah-fitnah itu. Bahkan mentertawakan segala propaganda yang dibikin aparat media tradisional yang diberi makan oleh United Malays National Organisation.
Penduduk Kampung Tok Subuh seakan kelu lidah membisu, selain memanjatkan rasa syukur dengan tawaran yang diberikan kerajaan negeri Pulau Pinang, yang selama ini disifatkan kononnya sebagai syaitan yang cuba menghalau habis setiap orang Melayu yang ada keluar dari pulau itu.
Hakikatnya kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai Setiausaha Agung DAP terbabit bahkan sanggup berlaga angin dengan pihak pemaju tanah berkenaan.
“Pemaju tak layan Kerajaan Negeri kerana dia kata, dia pun ada kerajaan. Kerajaan yang lagi tinggi,” ujar Guan Eng, mengenang kembali kronologi layanan pihak pemaju terhadap usaha kerajaan membela nasib penduduk.
“Selagi kerajaan Pakatan ini milik rakyat, kita akan pastikan Kampung Permatang Tok Subuh kekal hingga selama-selamanya,” tegas beliau, membidas sikap pemaju yang cuba menggunakan pengaruh mereka dalam kerajaan pusat untuk menindas penduduk.
Demokrasi Sosial, bela rakyat miskin
Ucapan Guan Eng itu mengingatkan saya kepada temuramah dengan Penasihat DAP, Dr Chen Man Hin, ketika ditanya kenapa memilih ideologi kiri dalam memperjuangkan sebuah negara milik seluruh rakyat Malaysia.
“Kita memilih jalan sosial. Kita mahu bantu orang miskin,” katanya dalam wawancara sempena ulang tahun DAP yang ke-50 tahun lalu.
Adalah tidak benar untuk menuduh DAP sebagai parti pro pemaju, dengan sekadar menghalakan muncung senjata ke arah pembangunan pesat yang sedang berlangsung di Pulau Pinang, tanpa mengambil kira program-program kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi membela nasib rakyat berpendapatan rendah di negeri itu.
Apatah lagi dengan mengesampingkan usaha-usaha kerajaan untuk membela nasib penduduk kampung yang berhadapan pengusiran paksa oleh kaum pemodal, seperti dalam kes Kampung Tok Subuh.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dalam perkongsian Facebook selepas acara tersebut berkata beliau masih ingat bagaimana kali pertama beliau melawat kampung itu dan disambut dengan suasana suram.
“Saya masih ingat lagi ucapan saya masa itu (tiga tahun lalu) kepada mangsa pengusiran paksa Kampung Tok Subuh. (Saya kata) kalau kalian nak ‘settle’, kita bantu ‘settle’ sama pemaju.
“Kalau kalian nak lawan, kita lawan sama-sama,” katanya yang telah bersama-sama berjuang dengan penduduk kampung tersebut sejak dari mula.
Di Sungai Gelugor, Melayu keluar UMNO, sokong DAP
Keesokan harinya, Kit Siang bergerak pula menuju Sungai Gelugor. Dengan membonceng motosikal, pemimpin veteran DAP itu dibawa melawat keliling kampung.
Meski sekadar tujuh buah rumah, sambutan penduduk setempat tidak kurang hebatnya berbanding program ziarah ke Tok Subuh. Kit Siang dan delegasinya membawa sumbangan untuk anggota masyarakat yang memerlukan.
Diiringi Adun Seri Delima, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Kit Siang dibawa menelusuri lorong-lorong kampung dan melihat dengan mata kepala sendiri nasib rakyat di bawah, tanpa perlu menanti tempoh kempen pilihanraya. Wakil-wakil rakyat yang tidak menziarahi pengundi di luar musim mengundi sepatutnya malu dengan beliau, yang bahkan bertemu saudara senegara jauh di luar kawasan sendiri.
Penduduk juga tidak lokek pujian terhadap Rayer dan Ram yang mereka sifatkan sebagai wakil rakyat yang rajin bertemu mereka dan menyelesaikan masalah-masalah setempat, tanpa mengira dari mana pun aduan yang diterima.
Anak-anak muda yang menyertai konvoi Kit Siang juga tidak kurang terpesona dengan sosok pemimpin 76 tahun usia ini, yang pertama kali ditemui di luar kaca televisyen.
Haji Marasik, Pengerusi JKKK Sungai Gelugor kelihatan gigih mengatur pergerakan konvoi motosikal pagi itu. Usai majlis makan tengah hari di rumahnya, kami lepak di bawah bumbung bengkel motor kelolaan beliau serta anak-anak untuk belia setempat.
“Saya dulu pun UMNO. Tapi saya rasa la ni UMNO tipu budak-budak ni semua.
“Depa janji bayar seratus, bawak budak-budak motor ni pi demo. Dapat lima puluh saja. Lima puluh lagi pi mana?” soalnya, garang.
Pak Marasik juga tidak dapat menahan rasa gembiranya bertemu Kit Siang, yang selama ini disangkanya sama sebiji seperti yang digambarkan oleh aparat propaganda UMNO. Beliau tidak lelah menguntumkan senyuman setiap kali memandang ‘YB’ dan mengucapkan terima kasih kerana sudi datang bertemu penduduk kampung.
“Sepanjang lapan tahun lalu kita telah melihat begitu banyak propaganda terhadap DAP. Kononnya kita ini anti-Melayu dan anti-Islam.
“Hanya orang bodoh sahaja yang akan berani untuk menentang Melayu dan Islam. Kerana kita mahu berjaya dalam politik dan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia,” ujar Kit Siang dalam sidang media selepas acara tersebut.
Katanya, rakyat Malaysia, tidak kira lah keturunan apa pun, hanya mempunyai satu cita-cita: untuk melihat negara ini berjaya. Di peringkat akar rumput, masalah-masalah perkauman yang dijaja sesetengah pemimpin politik keparat ini sebenarnya tidak wujud pun.
“Saya telah melihat, sepanjang tempoh dua hari ini bahawa rakyat di bawah mempunyai pertimbangan yang jauh berbeza berbanding beberapa kerat pemimpin politik yang mempunyai kepentingan politik tersendiri.
“Pengundi Melayu (terutamanya) di Pulau Pinang, memberi dokongan penuh kepada kerajaan negeri dan cukup gembira dengan khidmat yang diberikan wakil-wakil rakyat DAP. Ini memperlihatkan bahawa propaganda jahat UMNO yang disebar di seluruh negara, kononnya Melayu Pulau Pinang ditindas adalah mustahil dan tidak benar sama sekali,” ujarnya.
Katanya lagi, mereka yang tidak datang sendiri ke Pulau Pinang dan menyaksikan situasi sebenar akan mempunyai satu tanggapan yang salah mengenai keadaan setempat.
“Kita mahu orang Melayu terutamanya di luar Pulau Pinang, mendapat gambaran sebenar bahawa kerajaan pimpinan DAP pastinya mahu membuktikan bahawa ia lebih berkesan berbanding kerajaan pimpinan UMNO,” kata Kit Siang. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment