Pemuda PH Sabah gesa SPRM dedah kertas siasatan babit tiga pegawai Jabatan Air Sabah
Pemuda PH Sabah menyatakan isu skandal air negeri Sabah bukanlah isu picisan kerana masalah air ini telah menyebabkan ribuan rakyat Sabah hidup dalam kesengsaraan.
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah melahirkan rasa kecewa dan mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kertas siasatan ke atas tiga orang pegawai Jabatan Air Negeri Sabah yang terbabit dalam skandal rasuah.
Ketua Pemuda Amanah Sabah Khairuddin Daud menjelaskan, Pemuda PH Sabah tidak berpuashati dengan jawaban bertulis oleh SPRM terhadap surat yang pernah dihantar ke cawangan suruhanjaya itu pada 23 Disember lalu.
"Sejujurnya kami kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh pihak SPRM dalam isu ini.
"Namun, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana setelah diikuti perbicaraan mahkamah pada 29 Disember lalu dengan surat tadi, ketiga-tiga koruptor itu langsung tidak disabitkan dengan rasuah dan korupsi, sebaliknya kesalahan penggubahan wang haram.
"Kami juga yakin, masyarakat Sabah seluruhnya berasa kecewa apabila jawapan SPRM ini seolah-olah menggambarkan tidak berlaku sebarang skandal rasuah", ujarnya dalam sidang media diadakan hari ini.
Seterusnya, Pemuda PH Sabah mengambil langkah menggesa pihak SPRM mendedahkan kertas siasatan.
"Justeru itu, kami mengambil pendirian mendesak SPRM mendedahkan kertas siasatan kepada umum untuk penilaian orang ramai.
"SPRM juga boleh menyediakan ruangan khusus di portal SPRM bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan akses maklumat kertas siasatan tersebut"
"Selain itu, selepas ini kami akan membawa perkara ini kepada Yang di Pertuan Agong bagi menggesa penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan di Raja khusus bagi menyiasat isu skandal air negeri Sabah", ujar mereka.
Khairuddin yang juga mewakili Pemuda PH Sabah menyatakan isu skandal air negeri Sabah bukanlah isu picisan kerana masalah air ini telah menyebabkan ribuan rakyat Sabah hidup dalam kesengsaraan.
Justeru, tiada pihak yang boleh dibiarkan terlepas daripada siasatan ini sama ada 'orang besar' seperti yang didakwa SPRM mahupun marhaen seluruhnya.
Setelah tersebarnya gambar surat respon balas daripada SPRM kepada Pemuda Pemuda PH Sabah di laman sosial pada hari ini telah tampil mengadakan sidang media bagi menjelaskan pendirian mereka terhadap respon balas SPRM tersebut.
Khairuddin berkata, Pegawai SPRM telah menerima surat tersebut dan menjelaskan kes rasuah itu dikendalikan oleh ibu pejabat SPRM di Putrajaya ekoran status kes siasatannya yang berprofil tinggi.
"Walau bagaimanapun, pegawai SPRM memberitahu kami, permohonan kami akan disampaikan kepada ibu pejabat SPRM.
"Pada 27 Disember 2016, kami telah menerima SMS daripada SPRM yang menyatakan aduan kami telah diterima dan akan diberikan jawapan dalam tempoh 7 hari waktu bekerja", katanya.
Menurutnya lagi, pada 12 Januari 2016, mereka telah menerima sepucuk surat daripada SPRM mengenai jawapan isu Skandal Rasuah Air Negeri Sabah (RUJ: SPRM/CPM 20/38/01.30 Jld.46(58) bertarikh 29 Disember 2016.
"Untuk rekod, 29 Disember 2016 juga adalah tarikh perbicaraan tiga orang yang terlibat skandal rasuah ini di Mahkamah Kota Kinabalu.
"Di dalam surat tersebut, SPRM menegaskan bahawa kes berkenaan tidak diambil tindakan lanjut atas alasan ianya tidak berunsur rasuah dan diluar bidang kuasa SPRM serta menegaskan tiada tindakan lanjut akan diambil",terangnya.
No comments:
Post a Comment