Transformasi Nasional 2050: Menuju Malaysia tanpa UMNO
Acara lepak santai sambil minum teh tarik di Gombak lewat malam Isnin lepas menyaksikan segerombolan lelaki Melayu pertengahan usia, bersongkok, gendut dan garang misainya tiba-tiba kelihatan manja dan tersipu-sipu, menyambut kedatangan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Kit Siang dijadual beraksi malam itu bersama Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Rashid Asari, serta pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Dr Hatta Ramli.
Gerombolan lelaki Melayu pertengahan usia ini semua memakai pakaian merah, sisa-sisa kenangan daripada parti keramat yang telah ditinggalkan namun masih melekat sebagai identiti parti cap bunga raya pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Meski dengan baju merah, songkok tinggi, misai tebal dan berperwatakan panglima Melayu pantang dijentik itu; semua kelihatan sejuk hati berhadapan Kit Siang yang pernah dianggap musuh tradisi. Segala kanta perkauman penuh kebencian yang digunakan untuk memandang Kit Siang sebagai komunis, anti-Melayu, anti-Islam, cauvinis Cina, dan segala yang buruk-buruk selama ini habis tertanggal semua.
Pada saya ini lambang Kit Siang sebagai seorang pemberani, yang sanggup membuka jalan perpaduan dan meleburkan pagar-pagar besi perkauman, berbanding mereka yang sedikit penyegan dan malu-malu mahu berinteraksi kerana kekangan-kekangan komunikasi, budaya dan sebagainya.
Acara anjuran DAP malam itu seakan diambil alih seluruhnya oleh gerombolan parti baru Mahathir. Penuh muka-muka totok UMNO yang sedang perlahan-lahan bertatih menuruti langkah yang telah dirintis Kit Siang sejak 51 tahun lalu.Acara anjuran DAP malam itu seakan diambil alih seluruhnya oleh gerombolan parti baru Mahathir. Penuh muka-muka totok UMNO yang sedang perlahan-lahan bertatih menuruti langkah yang telah dirintis Kit Siang sejak 51 tahun lalu.
Bagi saya ini sangat comel. Seperti melihat anak-anak kecil yang baru belajar berjalan, setelah lelah dipimpin tangannya sejak Reformasi 1998.
Tertanggalkah hijab minda Melayu?
Rata-rata mereka yang hadir malam itu punya banyak persoalan yang sudah lama menanti untuk dileraikan. Ya lah, selama dalam UMNO, propaganda yang disaji habis ditelan mentah-mentah tanpa usul periksa. Apabila UMNO telah dibuang jauh ke belakang, dan hijab-hijab yang mengaburi pandangan habis terlerai, maka mulalah bertanya untuk menjernihkan segala yang keruh.
Melihat sendiri bagaimana lapis demi lapis fitnah dan tuduhan yang selama ini dilemparkan kepada Kit Siang akhirnya dibersihkan sendiri oleh tangan-tangan bekas UMNO ini agak menggelikan hati. Pun begitu saya merasa lega. Akhirnya mereka mengaku juga bahawa segala tuduhan yang dilempar kepada Kit Siang dan DAP itu semuanya tidak benar belaka.
Malah ada yang bertanya, “Apa yang DAP telah ambil daripada orang Melayu selama ini? Dan apa pula yang UMNO telah ambil daripada orang Melayu?”
Apa yang aneh bagi saya ialah bagaimana mereka ini memerlukan masa yang begitu lama untuk menyedari kejahatan UMNO selama ini? Adakah tidak cukup maklumat dan ceramah untuk meyakinkan bahawa UMNO itu bobrok dan korup membusuk hingga ke dasar?
Namun lebih aneh lagi ialah apa yang berlaku semalam di Universiti Malaya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berbusana kemeja santai, berucap di pentas bulat dikelilingi ratusan anak muda kelihatan seolah-olah masih punya kredibiliti.
Ya kita tahu, penonton dan tukang soal semua sudah habis ditapis sebelum diizin masuk ke Dewan Tuanku Canselor itu. Cuba kalau benar dibuat acara ‘town hall’ itu secara terbuka. Entah apa bala bakal menimpa. Silap-silap Mahathir pun ada bersama. Tapi itu bukan poin saya.
Gaya seolah-olah ada kredibiliti sambil berbicara soal masa depan dan rasa percaya kepada negara itu, kelihatan sangat meyakinkan. Najib Razak kelihatan sangat percaya bahawa agenda barunya untuk menggantikan Wawasan 2020 itu akan diterima dan dilambung sebagai legasinya 30 tahun lagi.
Untuk itu, kita perlu ingatkan Datuk Seri Perdana Menteri bahawa, ya, kita semua percaya kepada negara dan segala nilai murni yang dikongsi bersama, tanpa mengira latar kaum, keturunan, agama mahupun ekonomi.
Tetapi kita tidak lagi boleh percaya kepada Datuk Seri Perdana Menteri.
Kalau gerombolan bekas-bekas UMNO yang dahulu totok mahu meludah muka Lim Kit Siang pun kini sudah bergegas menghindar dan menubuhkan parti baru. Inikan pula anak-anak muda celik teknologi dengan maklumat di hujung jari.
Ya minda Melayu sudah kian terbuka, untuk membaca, bertanya dan mempersoal segala penipuan yang telah dihidangkan sekian lama.
Janganlah terus cuba ditipu kami semua lagi. Transformasi Nasional 2050 bakal menyaksikan masa depan negara ini, tanpa United Malays National Organisation. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment