Dana 1MDB: Dari taja haji hingga bayar hutang judi
Di Malaysia, dana syarikat pelaburan negara penuh bermasalah, 1MDB digunakan untuk menaja secara percuma 3,511 pemimpin masyarakat untuk menunaikan haji sejak 2011, namun di Amerika Syarikat ratusan juta dolar wang 1MDB yang diselewengkan digunakan untuk membayar hutang judi.
Jumlah yang dibelanjakan 1MDB bagi Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (PKHYABPM-1MDB) turut mengundang persoalan memandangkan sehingga kini tiada sumbangan diberikan syarikat sarat hutang itu ke kantung negara.
Malah peruntukan besar untuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 1MDB itu amat tidak seimbang dengan hutang tanggungan syarikat yang dinilai melebihi RM55 bilion.
Di Amerika Syarikat, Jabatan Kehakiman (DoJ) negara itu mendedahkan sesuatu yang lebih memeranjatkan.
Dalam dokumen saman sivil DoJ terhadap empat individu yang didakwa menyelewengkan dana 1MDB, ratusan juta dolar telah dibelanjakan Riza Aziz, Jho Lo, Tan Kim Loong (pengarah Alsen Chance Holding Limited) dan bekas pegawai tinggi 1MDB untuk berjudi di Vegas.
Bagaimanakah dana 1MDB yang diselewengkan digunakan Jho Low dan Riza Aziz untuk berjudi?
Para 219 dokumen saman sivil DoJ menyebut, Riza Aziz memindahkan sekurang-kurangnya USD41 juta dari dana yang diterima daripada Aabar-BVI ke akaun yang kemudiannya digunakan untuk membayar perbelanjaan perjudian bagi dirinya (Riza Aziz), Jho Low dan Tan.
Para 220 dokumen saman sivil DoJ pula menyebut, beberapa hari selepas akaun Red Granite Capital menerima dana dari Aabar-BVI, sebahagian daripada dana tersebut telah dipindahkan ke akaun di Standard Chartered Bank di Singapura atas nama Alsen Chance Holding Limited (Akaun Alsen Chance).
Pembukaan dokumen akaun tersebut menyenaraikan Tan sebagai pengarah Alsen Chance.
Tidak lama selepas itu, akaun Alsen Chance digunakan untuk membayar perbelanjaan perjudian untuk Jho Low, Tan, Riza Aziz dan sekurang-kurangnya seorang bekas pegawai daripada 1MDB.
Para 221 dan 222 dokumen saman sivil DoJ menyatakan pada 21 Jun 2012, kira-kira tiga hari selepas Aabar-BVI memindahkan USD133,000,000 ke akaun Riza Aziz (Ketua Pegawai Eksekutif, Pengasas, Pengerusi dan Pengeluar Red Granite Capital), beliau memindahkan USD41,000,000 dari akaun Red Granite Capitalnya ke akaun Alsen Chance.
Kira-kira tiga minggu kemudian (10 Julai 2012), sejumlah USD11,000,000 telah dihantar dari akaun Alsen Chance ke akaun bank yang diselenggarakan oleh Las Vagas Sands, LLC.
Antara lain, Las Vegas Sands memiliki dan mengendalikan Venetian Resort Hotel Casino (Casino Venetian) di Las Vegas. Butiran bayaran pada wayar berbunyi: "Player No [XXX] 4296".
Para 223 dokumen saman sivil DoJ juga menjelaskan bahawa pelanggan XXX4296 ialah Jho Low.
Pada atau sekitar 10 Julai 2012, $11,000,000 telah didepositkan ke dalam akaun Jho Low di Kasino Venetian, dan rekod menunjukkan bahawa Jho Low berjudi di sana selama kira-kira tujuh hari.
Dijelaskan juga bahawa pelanggan XXX8710 ialah Tan Kim Loong.
Para 225 dokumen saman sivil DoJ menyebutkan, pada atau sekitar 15 Julai 2012, Jho Low mengeluarkan sejumlah wang tunai USD1,150,090 di Kasino Venetian.
Beberapa individu berjudi bersama beliau dengan menggunakan akaunnya. Ini termasuk Riza Aziz, pengasas bersama Red Granite Pictures, Mc Farland, seorang pelakon utama dalam filem 'Wolf of Wall Street'dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB.
NAJIB TUN RAZAK menyerahkan surat tawaran mengerjakan haji kepada seorang penerima di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, semalam. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
1MDB taja 1,200 jemaah tunaikan haji 2016
13 Ogos 2015 1:30 AM
PUTRAJAYA 12 OGOS – Seramai 1,200 jemaah terpilih dari seluruh negara bakal menunaikan fardu haji di Tanah Suci pada tahun ini di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (PKHYABPM-1MDB).
Pengerusinya, Datuk Jailani Ngah berkata, selain imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jemaah terpilih pada tahun ini turut melibatkan bilal dan pemimpin masyarakat setempat.
Beliau berkata, bermula pada 2011, jumlah jemaah haji yang dibiayai oleh IMDB menerusi program khas haji itu sentiasa meningkat iaitu sebanyak 111 pada tahun pertama kepada 400 pada 2012, manakala 800 dan 1,000 pada tahun berikutnya.
“Pada tahun ini kita dapat menghantar 1,200 jemaah untuk menunaikan haji, menjadikan jumlah keseluruhan jemaah yang dihantar sebanyak 3,511 sejak diperkenalkan.
“Selain menanggung kos menunaikan ibadat haji, jemaah juga diberikan wang saku sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi kegunaan sepanjang tempoh menunaikan ibadat di tanah suci,” katanya ketika menyampaikan watikah pelantikan urusetia bagi PKHYABPM-1MDB di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, di sini hari ini.
Seramai 30 urusetia terdiri daripada pelbagai latar belakang dilantik bagi membantu menguruskan kelancaran jemaah haji PKHYABPM-1MDB sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
Penerbangan peserta PKHYABPM-1MDB akan berlepas pada 25, 26 dan 27 Ogos bagi KT23, KT25 serta KT26 selama 40 hari berada di tanah suci.
No comments:
Post a Comment