Pages

Friday, 3 February 2017

Apakah Malaysia bersubahat serang Yaman?

Jumaat, 3 Februari 2017

Apakah Malaysia bersubahat serang Yaman?


ULASAN l Jawapan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kononnya Malaysia tidak terlibat dalam operasi peperangan di Yaman bersama dengan tentera Amerika Syarikat, Britain dan Perancis sukar dipercayai dan tidak munasabah.
Malaysia dikatakan hanya menjalani operasi latihan menyelamat dan bantuan bencana.
Pertama, jika untuk latihan menyelamat dan bantuan kenapa berada di Riyadh yang terletak beribu-ribu kilometer dari sempadan Yaman yang sedang diserang dengan peluru dan bom bekalan rakan kongsi satu jabatan dengan Malaysia di Riyadh dari Amerika, Britain dan Peranchis?
Adakah setelah mereka membekal bahan peluru serangan dan kita pula mengurus operasi "menyelamat" seperti operasi "trak penunda" yang mencurah minyak di jalan dan rakannya "menyelamatkan" mangsa kecelakaan kemalangan!
Bukankah ini persubahatan yang jahat dan berdosa dengan musuh Islam ke atas pengorbanan nyawa umat sesama Islam Yaman?
Kedua, dengan segala kecanggihan alat perang Amerika dan Britain mereka tentu boleh membezakan di antara sasaran awam dan ketenteraan.
Bangsa Bangsa Bersatu - PBB, melaporkan 80 peratus serangan dan kematian dikategorikan sebagai jenayah perang - kerana orang awam menjadi sasaran.
Bunuh umat Islam
Tidakkah Malaysia yang bersama dengan sekutu Barat ini tahu dosa dilakukan membunuh umat Islam?
Rencana BBC baru-baru ini menyiarkan temu bual dengan seorang jeneral tentera Arab Saudi berhampiran sempadan dengan Yaman.
Walaupun pada mulanya, Saudi menafikan pengeboman ke atas sebuah majlis pengebumian orang awam di Sanaa yang mengorbankan 150 nyawa dan mencederakan 500 lain, jeneral itu akhirnya mengakui tanggung jawab tetapi dengan alasan operasi tersebut diluluskan oleh ibu pejabat Riyadh, di mana Malaysia dan rakan kuasa besar Barat beroperasi.
Di antara dua hingga empat bom dilaporkan telah digugurkan pada majlis pengebumian tersebut.
Tidak mungkin Malaysia tidak mengetahui atau tidak bersubahat dalam isu ini. Adakah Malaysia akan terus bersekongkol dan bersubahat dalam sekutu ini?
Ketiga, apa relevan "latihan ketenteraan" di padang pasir Arab Saudi, termasuk juga latihan Northern Thunder yang pernah saya ajukan di Parlimen pada awal tahu lalu.
Lebih baik kita berlatih dengan tentera laut Indonesia untuk memerangi lanun dan militan tempatan yang mengganas di perairan Sabah dan mengancam nelayan kita di laut China Selatan.
Polisi Negara Berkecuali
Rakyat dan nelayan kita tidak terbela dan dilindungi tetapi kita membantu negara lain bersama kuasa besar Barat membunuh sesama Islam.
Bayangkan, Arab Saudi bersama lapan negara Arab serta Afrika dibantu oleh Amerika, Britain, Perancis serta Malaysia menyerang sebuah negara Islam kerdil Yaman!
Bukankah itu satu penganiayaan yang mengundang simpati orang bukan Islam lain pun tetapi tidak Malaysia?
Apa yang telah terjadi kepada ‘Polisi Negara Berkecuali’ kita hari ini?
Kita terlalu tunduk kepada kuasa besar dunia dan sekutu Amerika sehingga mengabaikan tanggung jawab membela negara kecil yang dizalimi.
Sehingga hari ini Malaysia masih membisu berhubung tindakan Presiden Amerika, Donald Trump yang mengharamkan kemasukan rakyat dari tujuh negara Islam.
Pemimpin kita menjadi budak suruhan kepada negara besar dan kaya.
Akhir sekali rakyat ingin tahu benarkah berita dari Arab Saudi mengatakan kehadiran juruterbang Angkatan Tentera Udara di Raja Malaysia di negara tersebut sekarang?
Apakah tugas serta misi mereka berada di sana?
Kami menuntut penjelasan.
Sikap hiprokit
Kenyataan Hishammuddin bahawa pembabitan Malaysia di Riyadh hari ini adalah untuk "....latihan pemindahan dan bantuan bencana...." tidak boleh diterima oleh mereka yang berakal waras.
Pelajar dan rakyat Malaysia telah lama dibawa keluar dari Yaman. Bencana yang berlaku adalah dengan bantuan persubahatan Malaysia dengan kuasa besar barat dari Riyadh.
Semasa kami berhimpun di depan kedutaan Amerika hari ini, membantah sikap rasis dan imperialis Amerika Syarikat, Umno dan PAS berkumpul untuk melancar Flotilla bantuan ke Myanmar kerana kekejaman kerajaan negara itu ke atas kaum minoriti Rohingya yang dilarang masuk Malaysia sebagai pelarian.
Kerajaan Malaysia telah menolak unsur bahas Rohingya di Parlimen. Bukankah ini mirip dengan sikap hipokrit serta diskriminasi Amerika yang membantu mengebom Yaman, dengan restu kerjasama Malaysia,tetapi menghalang pelarian Yaman memasuki Amerika?

Raja Bahrin Shah adalah Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.
Tulisan ini adalah pandangan dan pendapat peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Mqalaysiakini.

No comments:

Post a Comment