Mampukah PAS pertahankan Kelantan?
KLUANG, 1 FEB: PAS mungkin tidak akan dapat mempertahankan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Hal ini kerana PAS baru-baru ini dilihat cukup ‘intim’ dengan UMNO, sedangkan rakyat Kelantan memang sudah lama menolak parti pemerintah itu tidak kira di peringkat negeri atau persekutuan, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.
“Keunikan Kelantan termasuklah kekuatan rakyatnya menolak taktik UMNO menakutkan masyarakat dengan perkauman. Malah, taktik ‘takutkan DAP’ oleh UMNO pun gagal di Kelantan kerana rakyatnya mempunyai identiti yang kukuh.
“Tapi, apabila PAS dan UMNO kelihatan rapat sejak kebelakangan ini, PAS mungkin akan kehilangan imejnya sebagai parti kewilayahan atau anti-persekutuan di mata rakyat Kelantan,” katanya, merujuk kepada analisis kajian yang dilakukan pihaknya baru-baru ini.
Chin Tong menambah, kemungkinan itu akan lebih pasti jika Parti Amanah Negara (Amanah) memberi cabaran hebat kepada PAS di 10 daripada 33 kerusi DUN yang disandangnya kini
“Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula memberi saingan di lima dari 12 kerusi DUN yang disandang UMNO, PAS dan UMNO mungkin tidak lagi secara mudah boleh bertanding antara satu sama lain di Kelantan.
“PAS mungkin terpaksa membentuk pakatan pilihan raya dengan UMNO di Kelantan, tidak kira secara sukarela atau demi kepentingan politik,” ujar Pengarah Pendidikan Politik DAP itu.
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata partinya menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada PRU14, dengan mempertahankan Kelantan dan Selangor.
Pada masa ini, PAS menguasai 31 kerusi DUN di Kelantan, Amanah dan PKR masing-masing memegang satu kerusi DUN manakala UMNO 12 kerusi.
Baca analisis penuh oleh Liew Chin Tong di https://www.roketkini.com/2017/02/01/mampukah-pas-kekalkan-kelantan/– Roketkini.com
No comments:
Post a Comment