4,000 pekerja KTMB bakal hilang kerja?
Terbaru, KTMB dikatakan bakal diswastakan kepada syarikat-syarikat luar melalui perlaksanaan Railway Network Access Agreement (RNAA), di mana perjanjian ini akan menyebabkan lebih kurang empat ribu pekerja KTMB bakal kehilangan pekerjaan.
RNAA merupakan sebuah perjanjian antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan syarikat-syarikat industri swasta.
Sekiranya dipersetujui dan disokong oleh Kementerian Pengangkutan di bawah Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan; maka pengoperasian tren, kargo dan lokomotif akan diambil alih oleh syarikat-syarikat luar manakala KTMB sekadar menyelaraskan waktu pergerakan tren dan menguruskan stesen-stesen perhentian.
Hal ini akan menyebabkan sejumlah besar pekerja KTMB akan kehilangan kerja dalam bidang pengoperasian kereta api kerana tugas-tugas tersebut akan diambil alih oleh syarikat swasta berkenaan.
Saya khuatir RNAA akan menyebabkan harga tiket komuter dan perkhidmatan KTMB lain akan meningkat.
Hal ini kerana pelaburan syarikat swasta yang menyertai perjanjian tersebut memerlukan kos yang tinggi untuk memulakan penglibatan dalam industri kereta api seperti pembelian ‘rolling stock’, ‘wagon’ dan lokomotif.
Situasi ini menyebabkan kos sara hidup rakyat akan meningkat lebih tinggi, apatah lagi setelah kenaikan tambang komuter berlaku pada akhir tahun 2015.
Saya ingin mengingatkan Kerajaan Umno BN supaya lebih bertanggungjawab menguruskan KTMB ini melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.
Peruntukan lebih kurang RM2 bilion setiap tahun melalui bajet kerajaan persekutuan sewajarnya mencukupi untuk KTMB memajukan operasi tanpa memerlukan penswastaan lanjut melalui mana-mana perjanjian.
Saya khuatiri RNAA ini dibuat bertujuan semata-mata untuk kerajaan tidak mahu lagi memberikan peruntukan kewangan pada KTMB, sebaliknya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada syarikat-syarikat swasta yang mendapat kontrak.
Tambahan pula, perjanjian ini akan menyebabkan KTMB semakin terdedah pada ketirisan dan kronisme, sekiranya tatakelola perolehan kontrak yang tidak telus.
Saya juga ingin mengingatkan bahawa kerajaan Umno BN sentiasa membuat perjanjian yang lebih menguntungkan syarikat swasta atau konsesi melebihi rakyat Malaysia sendiri, seperti mana yang dilihat dalam isu perjanjian tol.
Saya berharap agar rancangan RNAA dikaji semula dengan segera supaya isu ini dapat menyelamatkan pekerja-pekerja KTMB dan rakyat daripada menjadi mangsa pada pengswastaan KTMB. Saya komited dalam memperjuangkan industri kereta api yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia.
KTMB seharusnya beroperasi sebagai perkhidmatan sosial yang disubsidi oleh kerajaan, bukannya diswastakan untuk tujuan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan negatif terhadap penggunanya.
Peruntukan wang secara telus dan betul kepada sektor pengangkutan awam adalah lebih baik dari melakukan pengswastaan operasi agar Kerajaan Umno BN melepaskan tanggungjawab membiayai KTMB.
* Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid adalah Ahli Parlimen Kuala Langat
Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Otai Bersih
No comments:
Post a Comment