'Lempang-melempangi' akan meletus pada pemilihan Pas?
Menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-63 pada 28 April hingga 1 Mei depan, Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad seolah-olah memberi gambaran insiden 'lempang-melempangi' bakal tercetus pada pemilihan parti tersebut.
Tanpa menyebut secara khusus, empat status Facebook yang dimuat naik Pesuruhjaya Pas Selangor Rabu lalu dilihat konsisten merujuk kepada kemungkinan penyingkiran kumpulan tertentu pada pemilihan sempena himpunan tahunan itu.
Berturut-turutan pada 8 April lalu sehingga 9.41 malam, Iskandar memulakan kenyataan dengan menulis, "Tunjukkan kehebatan kita dengan apa yang telah kita lakukan bukan dengan menidakkan apa yang orang lain telah lakukan."
Ungkapan pada pukul 8.09 malam itu diikuti dengan pernyataan dalam bahasa Inggeris selang 15 minit kemudian.
"Berdasarkan posting FB, sesiapa sahaja dapat merasakan bahawa pemilihan parti semakin dekat. Jadi, boleh diramal," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka itu.
Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Kerajaan Negeri Selangor seterusnya secara jelas membayangkan pemilihan Pas yang diadakan setiap dua tahun sekali itu seperti situasi dalam panggung wayang.
"Start dah. Jom beli popcorn. 2 tahun sekali aje bro. Ha ha ha," tulisnya pada status Facebook yang dimuat naik pada pukul 8.31 malam.
Akhirnya, lebih sejam kemudian, beliau mengingatkan supaya tidak berlaku babak pertelagahan sekaligus menggambarkan kemungkinan berlakunya gelombang penyingkiran dan perpecahan Pas kali kedua dalam masa terdekat.
"Lengkap melengkapi dan bukan lempang melempangi," tulis Iskandar ringkas pada 'posting' pukul 9.41 malam, 8 Mac lalu.
Difahamkan, Iskandar antara pemimpin Pas pusat yang disebut-sebut bakal 'dilempang' atau disingkirkan pada pemilihan parti itu bulan depan selain Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Muktamar Tahunan Pas yang akan berlangsung di Kedah nanti adalah pemilihan kali pertama selepas kumpulan pro Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menguasai parti pada pemilihan sempena Muktamar Pas Ke-61 pada 2015 lalu.
Tiga jawatan naib presiden serta ketiga-tiga sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda dirampas oleh blok yang dilabel sebagai golongan ulamak pada pemilihan di Shah Alam, Selangor itu.
Turut menjadi tumpuan pada muktamar kali ini pasca hubungan mesra Pas-Umno yang sepentas, sepadang dan sekapal adalah status tahaluf siyasi dengan PKR dan arti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Abdul Hadi mencatatkan rekod tersendiri sebagai Presiden Pas pertama menjulang keris replika gergasi berukuran kira-kira dua meter panjang - satu aksi yang Presiden Umno pun belum pernah lakukan - pada perasmian Muktamar ke-62 parti itu di Kota Bharu tahun lalu.
Keris gergasi yang sebelum itu diarak masuk ke dalam dewan oleh seorang lelaki berpakaian seni silat berwarna hitam itu kemudiannya diguna untuk memotong kek pulut berwarna hijau dan putih menyerupai warna bendera Pas.
Muktamar Pemuda Pas tahun itu juga menyaksikan pemimpin kanan parti itu tampil berpakaian pahlawan Melayu lengkap bertanjak serta menyelit keris di pinggang termasuk Tuan Ibrahim; Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta Timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Format berpakaian pemimpin Pas pada muktamar tahun lalu jelas berbeza dengan penampilan mereka sebelum ini yang hanya berbaju Melayu lengkap atau berjubah dan berserban.
No comments:
Post a Comment