Masih berpeluang menang walaupun tiga penjuru
AHMAD LUTFI OTHMAN
Lama kita tidak mendengar pandangan dan analisis Dr Jomo KS mengenai senario politik tanahair. Pakar ekonomi antarabangsa itu pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sejak itu jarang mengutarakan komentar kritisnya terhadap pergolakan siasah negara.
Semasa beliau bertugas sebagai profesor di Universiti Malaya, saya agak kerap juga ke biliknya bagi mendapatkan bahan untuk majalah dan buku-buku terbitan saya, selain bersembang santai. Memang berbaloi. Argumennya sentiasa menarik, mudah difahami dan sudut pandangnya berbeda.
Beliau dikenali sebagai intelektual awam yang dihormati. Tidak ramai profesesor terkemuka yang dekat-akrab dengan isu-isu rakyat dan Jomo adalah salah seorang daripada yang sedikit itu. Beliau banyak menulis serta menerbitkan sendiri buku-buku terbaik yang laris di pasaran. Meskipun membawa tema yang berat tetapi pendekatannya mudah difahami, terutama berkaitan dasar-dasar ekonomi zaman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Hubungan rapat dan unik
Hubungannya dengan parti dan pemimpin pembangkang nampak rapat dan unik. Semasa kempen Pilihan Raya Umum 1990, Jomo banyak membantu Tengku Razaleigh Hamzah, ketua de facto pembangkang ketika itu. Beliau kelihatan agak kerap berada di kediaman Presiden Semangat 46 itu, Rumah Putih, Langgak Golf, Kuala Lumpur.
Ketika Ku Li ditohmah sebagai pengkhianat Islam ekoran aksinya memakai sigah Kadazah, yang dikatakan berlambangkan salib, sewaktu berkempen di Kota Kinabalu, Sabah bersama Pairin Kitingan, Presiden PBS, Jomo menghantar gambar lama Dr Mahathir, Presiden Umno, berpakaian sama, sambil menari santai, kepada Harakah. Namun, kami tidak sempat menyiarkannya kerana edisi untuk pilihan raya sudah siap dicetak. Maka, serangan Umno tidak sempat ditangkis pada waktunya, dan BN kekal menang besar.
Semasa era Reformasi dan menjelang PRU1999, Jomo selalu bersama dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Barisan Alternatif walaupun beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik. Sehingga ada pihak berkata, kedudukannya seolah-olah sama dengan Presiden Pas, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dan Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM. Ada juga yang mengaitkan hubungan istimewanya dengan Anwar Ibrahim, yang terpenjara ketika itu.
Justeru, apabila media baru-baru ini memetik kenyataannya mengenai kemungkinan BN menang dalam PRU14, ramai yang tersentak. Dalam wawancara khas selepas itu, Jomo menjelaskan: "Saya tidak kata BN akan menang, tapi pembangkang akan kalah kalau lawan tiga penjuru. Soal kerjasama pembangkang menjadi masalah pokok.
"Sebenarnya, kemarahan rakyat kian meningkat, dan mungkin BN tak dapat capai 40 peratus dari jumlah undi, tapi dengan sistem pilihan raya yang ada, BN dan Najib akan dapat terus berkuasa."
Sudut positif
Saya sempat merakamkan pandangan penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan Perdana School, UTM. Beliau melihat dari sudut positif ulasan Jomo itu. Dalam sistem politik demokrasi di negara ini, sebagai pemerintah, BN mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan pembangkang kerana selain faktor dana yang tidak terhad, BN menguasai jentera kerajaan.
Selain isu SPR dan persempadanan semula kawasan pilihan raya, tambahnya, faktor taburan pengundi tidak sekata antara bandar dan luar bandar mencapai nisbah 1:6 akan menyukarkan lagi peluang pembangkang.
"BN masih menguasai segmen pengundi subjek yang bertaburan di kawasan-kawasan luar bandar terutama di tanah-tanah rancangan seperti Felda dan lain-lain. Kedudukan pembangkang masih belum teguh. Bersatu, KeADILan, DAP dan Amanah juga belum mencapai satu tahap yang benar-benar kukuh sebagai satu gabungan politik seperti BN.
"Masing-masing masih mempunyai agenda peribadi dan sikap berhati-hati. Pada masa sama Pas dilihat tiada potensi untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan pertandingan tiga penjuru hampir pasti dalam PRU14," ujar Dr Mazlan lagi.
Perpecahan pembangkang Melayu
Sememangnya Jomo meletakkan punca utama kepada isu perselisihan sesama oposisi, terutama pembangkang Melayu. Walaupun mengakui Selangor dan Pulau Pinang barangkali dapat dipertahankan, tetapi peluang memimpin Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah sukar disebabkan faktor Pas. Apatah lagi untuk memerintah di peringkat persekutuan.
"DAP dan KeADILan barangkali akan terus berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor. Pas pula sukar menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah tanpa kerjasama dengan pembangkang lain walaupun tidak dapat dinafikan Pas lebih kuat di kebanyakan kawasan di negeri-negeri itu.
"Malah, Pas mungkin tidak dapat memerintah di peringkat negeri lagi kecuali dengan restu Umno, yang akan mendalangi kerajaan negeri berkenaan walaupun dengan MB dari Pas. Kalau demikian, ini akan menimbulkan semula masalah seperti di Kelantan pada tahun 1970-an, yang akhirnya menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan dan menyebabkan Pas kembali kepada pihak pembangkang sebelum mengambil semula teraju negeri Kelantan pada tahun 1990
Pengaruh Pas
"Di kawasan Melayu, Pas akan menarik undi pembangkang Melayu-Muslim lain, seperti diharapkan BN. Akibatnya, sukar bagi pembangkang maju, apa lagi menukar teraju negara walaupun majoriti orang Melayu tidak menyokong Umno-BN lagi.
Ironisnya, akibat perselisihan pembangkang Melayu, kedudukan semua mereka akan merosot walaupun kemarahan rakyat Melayu terhadap Umno-BN terus meningkat," hurai Jomo.
Beliau turut menyentuh soal kelebihan Sabah dan Sarawak kepada BN. "Kedua-dua negeri itu mempunyai satu suku dari kerusi parlimen, walaupun peratusan rakyat sana jauh lebih kurang. Di samping itu, parti pembangkang dari Semenanjung kurang peka terhadap keluhan rakyat di situ, terutama sekali selain orang bandar di Sarawak," katanya.
Saya juga ajukan persoalan yang dibangkitkan Jomo ini kepada bekas Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar. Ahli Parlimen Pokok Sena ini turut melihat perspektif Jomo itu dari kacamata positif, yang boleh memotivasikan gabungan pembangkang.
"Kunci kata dari analisis Prof Jomo itu adalah semua pembangkang mesti bersatu dan berpadu dalam grand coalition yang meyakinkan rakyat. Tapi jika terpaksa hadapi tiga penjuru, tidak semestinya peluang kita tertutup. Perpecahan dalam Umno, juga Pas, tidak memudahkan BN untuk menang dalam PRU14," jelas Mahfuz.
Realiti di Kedah
Beliau menambah, BN mungkin terus berkuasa jika Umno tidak menghadapi krisis seteruk sekarang, tetapi realitinya berbeda sama sekali. Mahfuz memberi contoh situasi di Kedah: "Menjelang PRU13, Umno bawa balik Mukhriz Mahathir untuk tawan Kedah daripada Pas, dan BN berjaya. Itu pun kajian menunjukkan hanya 56.7 peratus pengundi Melayu sokong BN. Sekarang dengan faktor Tun Mahathir Mohamad, ditambah kehadiran Mukhriz bersama pembangkang, selain hampir 10,000 penyokong Bersatu di setiap kawasan Parlimen di Kedah, apakah BN mampu menang lagi?"
Ditambah isu kemerosotan dan perpecahan Pas, yang melahirkan Amanah. "Di atas kertas mungkin tidak ramai yang berhijrah sertai Amanah, tapi realiti di akar umbi, saya sendiri lihat ramai ahli Pas yang tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinan, tidak kurang yang membawa diri, tak terlibat dengan sebarang aktiviti parti. Saya yakin jumlahnya ramai dan mereka ini cenderung sokong grand coalition pembangkang dalam PRU14," ujar Mahfuz, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah.
"Pembangkang tak perlu gusar dengan pendapat Prof Jomo itu, sebaliknya kita ambil sudut positif untuk memotivasikan lagi jentera kita. Masa masih ada untuk perbaiki segala kelemahan dan mantapkan gerakerja pilihan raya. Yang penting banyak isu besar yang membebankan rakyat menyebelahi kita," tambahnya.
Walaupun ada pihak yang mengandaikan Jomo mungkin tersalah pandang situasi terkini perkembangan sebenar di lapangan, disebabkan agak lama beliau berada di luar negara. namun saya melihatnya sebagai pandangan yang boleh dimanfaatkan, agar peluang terbaik untuk "merehatkan" Umno-BN ini tidak terlepas lagi. Pandangan intelektual awam tersohor ini wajar diberi perhatian serius.
Pengundi Cina sokong BN?
Seorang lagi penganalisis politik-ekonomi, Prof Hoo Kee Ping, memberi komentar hampir sama. Beliau, seperti dilaporkan portal freemalaysiatoday.com, meramalkan BN akan memenangi lebih banyak kerusi dalam PRU14.
Beliau memberikan empat faktor yang memihak BN berbanding pembangkang. Pertama, kemungkinan persaingan tiga penjuru antara Umno-Pakatan Harapan-Pas. Kedua, kelembapan ekonomi yang menyebabkan ramai pengundi Cina cenderung untuk memilih BN demi kestabilan. Ketiga, perbalahan dalaman dalam Pakatan Harapan dan keempat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan memindahkan pengundi ke kubu kuat DAP.
Sememangnya, pertandingan tiga penjuru seperti tidak dapat dielakkan lagi. Pas bukan sahaja berkerat rotan berpatah arang menolak kerjasama dengan DAP dan Amanah, malah akan memutuskan hubungan dengan KeADILan, rakan politik sejak 1999. Manakala hubungan dengan Bersatu dilihat dingin bermula awal penubuhan parti baru itu lagi, terutama reaksinya terhadap Pengerusi Dr Mahathir. Difahamkan hanya Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu yang dilihat beria-ia berusaha agar hubungan dengan Pas -- sekurang-kurangnya di Johor -- tidak putus.
4 parti oposisi bersedia
Saya yakin pimpinan keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan sudah bersedia dengan senario tiga penjuru ataupun situasi Pas mungkin mengadakan persefahaman politik dengan BN, di saat-saat akhir menjelang PRU14. Pas juga bukan sekuat dahulu lagi, keupayaan serpihannya, Amanah, untuk mengisi kekosongan dalam grand coalition pembangkang tidak boleh diremehkan.
Parti Islam baru itu sedang membina kekuatan dan pengaruh tersendiri, terutama di kalangan masyarakat Melayu-Islam. Sementara Bersatu pula merobekkan keutuhan Umno dengan teruk, menjadikan persaingan kali ini lebih seimbang, sekali gus mencabar.
Dalam pertemuan dengan Mazlan Aliman di Ayer Hitam baru-baru ini, pejuang gigih anak Felda itu memberitahu saya, faktor Dr Mahathir dijangka boleh mempengaruhi keputusan PRU14 di kawasan luar bandar. "Dr Mahathir sebut kepada saya sendiri, dia akan tumpu berkempen di kampung-kampung dan penempatan Felda, kawasan-kawasan urban diserahkan kepada rakan-rakan lain," kata Mazlan, sambil kami makan malam di majlis solidariti bersamanya.
Kuasai separuh kerusi Felda
Mazlan bercerita lagi tentang Dr Mahathir yang berazam untuk menguasai sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah 54 kerusi Parlimen yang mempunyai penempatan Felda. Bagi bekas perdana menteri itu, kerusi Felda penting untuk kesatabilan politik yang dipengaruhi elemen perkauman.
"Dalam siri jelajah saya bersama Dr Mahathir ke kawasan Felda, sambutan peneroka cukup hebat. Selalunya amat susah untuk kita kumpulkan orang Felda ke majlis ceramah pembangkang, tetapi dengan kehadiran Tun, boleh melimpah sehingga lima enam ribu pendengar," kata Mazlan.
Kesimpulannya, saya menaruh keyakinan, dengan segala faktor kekuatan dan segala cabarannya, PRU14 menyediakan peluang lebih terbuka. Jika pembangkang menghadapi masalah dalaman, Umno-BN juga dilanda krisis yang besar. Justeru, sebarang kesilapan biarpun kecil, termasuk yang boleh mencuit sensitiviti agama dan kaum, harus dielakkan. Jangan biarkan isu-isu kritikal yang membebankan rakyat tenggelam dengan gemuruh momokan sentimen yang dimainkan strategis BN.
Berdepan teguran penganalisis politik seperti Jomo, bersedialah untuk kita menerima pandangan pihak luar dan menterjemahkan dalam bentuk penambahbaikan, serta jadikanlah setiap cabaran itu sebagai pendorong untuk mencipta sejarah baru buat kepentingan rakyat dan menyelamatkan negara ini dari kancah kemusnahan.
Demo guling-guling, panjat memanjat, kena digerakkan segera...ia nampak berkesan..
ReplyDelete