NIK ABDUH AKHIRNYA JADI LEBIH UMNO DARIPADA UMNO
Dahulu Utusan adalah akhbar yang paling dimusuhi dan dijauhi oleh Pas. Tidak saja dikempen agar diboikot kerana segala beritanya dianggap jahat dan berupa fitnah, malah acara membakar akhbar Utusan juga pernah diadakan.
Tapi, itu dulu. Bak kata bidalan, Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Dulu dibenci, sekarang disayang.
Sekarang ini, Pas bukan saja banyak diberikan tempat dalam akhbar yang semakin tak laku dan terpinggir itu, malah pemimpin Pas juga nampaknya macam begitu gembira dapat mengisi ruang di dada akhbar berkenaan.
Dulu, kata mereka Utusan akhbar fitnah. Sekarang, di dada fitnah itulah mereka turut sama-sama bermain dan mengunyah.
Dalam satu serangan kepada Pakatan Harapan, tetapi DAP yang disasarkan, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz berkata, tanpa Pas, gabungan pembangkang itu semakin jauh daripada impian untuk mengalahkan UMNO dan BN.
Tambah beliau, hanya dalam dua keadaan saja Pakatan Harapan boleh menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang.
Pertama, katanya ialah dengan menjadikan bukan Islam sebagai majoriti dalam negara ini, namun dalam masa yang sama menganggap ia sebagai sasaran yang mustahil memandangkan statistik umat Islam yang terus bertambah.
Kedua, tambah beliau, DAP hanya boleh menang apabila umat Islam negara ini hidup dalam keadaan hanyut, hanyut tidak jaga agama, mereka hanya hendak jaga duit, ekonomi dan perut, maka di sini mereka akan terkesan dengan umpan DAP.
Betul atau tak betul apa yang disebut oleh Nik Abduh yang disiarkan melalui Utusan itu?
Secara jelas dan nyata, daripada kenyataan tersebut Nik Abdul sekarang sudah tak ubah seperti pemimpin UMNO totok yang selalu menjadikan isu perkauman dan setimen kebencian untuk meraih undi dan sokongan.
Mengapa beliau masih bermain dengan sentimen "jika bukan Melayu jadi majoriti" dalam hujah-hujahnya?
Sejak bila Pakatan Harapan sebuah gabungan bukan Melayu?
Bukankah Penasihat Pakatan Harapan ialah Tun Mahathir Mohamad, manakala Pengerusinya pula ialah Dr. Wan Azizah Wan Ismail?
Selain itu, dengan dua parti Melayu ialah Bersatu dan Amanah serta PKR yang majoritinya Melayu, ditambah dengan DAP yang turut ada Melayu di dalamnya, di mana karutnya Nik Abduh masih perlu mengajak rakyat Malaysia bimbang dengan Pakatan Harapan?
Nik Abduh seterusnya menyebut, "DAP hanya boleh menang apabila umat Islam ini hidup dalam keadaan hanyut, hanyut tidak jaga agama, mereka hanya hendak jaga duit, ekonomi dan perut."
Siapa yang sebenarnya sedang hanyut dengan duit dan mementingkan perut sehingga merosakkan umat Islam?
Mereka yang berada dalam UMNO, yang berbaik dengan UMNO atau yang menjauhkan diri, malah ingin menjatuhkan UMNO?
Kenapa Nik Abduh masih takut dengan kemenangan DAP yang hanya bertanding 53 kerusi saja dari segi kemampuan menghanyutkan umat Islam berbanding Pas sendiri yang bertanding 80 kerusi?
Mengapa beliau tidak yakin dengan Pas yang bertanding 80 kerusi mampu mencetuskan kebangkitan suara Melayu dan Islam berbanding DAP yang bertanding 53 kerusi, tetapi digembar-gemburkan mampu membangkitkan kuasa bukan Melayu?
Jika masih tidak yakin bersendirian, demi kuasa Melayu kononnya dan takut benar DAP atau bukan bukan Melayu yang berkuasa, kenapa tidak PAS terus saja bergabung dengan UMNO yang bertanding di 112 kerusi Parlimen yang merupakan kawasan majoriti Melayu?
Tidakkah dengan bergabung, sudah hampir pasti 112 kerusi Melayu dapat dikuasai secara kongsi antara Pas dengan UMNO?
Peluang sedang terbuka, mengapa Pas masih takut membuat pilihan "bernikah dan berkahwin" dengan UMNO daripada macam berkasih-sayang, tetapi masih dalam "hubungan yang terlarang"?
Dalam pada itu, daripada 222 kerusi Parlimen keseluruhannya, jika DAP hanya bertanding 53 kerusi saja, tidakkah selebihnya 169 kerusi itu akan ditandingi oleh PKR, Bersatu dan Amanah yang merupakan parti Melayu atau majoriti Melayu?
Katalah juga, andaiannya DAP memang kesemua 53 kerusi yang ditandinginya sekali pun dan apabila Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan baru dengan meraih mininum 112 kerusi, siapakah yang jadi majoriti akhirnya?
Apakah dalam hal, Nik Abduh tidak mampu menilai bahawa sekiranya Pakatan Harapan menang pilihanraya, bukan saja kuasa Melayu terus jadi majoriti, bahkan Perdana Menteri pun tetap orang Melayu?
Lebih sadis, adakah beliau turut terlupa atau buat-buat lupa bahawa DAP turut berulangkali menyatakan mereka tidak berhasrat sama-sekali untuk menuntut kerusi Perdana Menteri, waima jawatan Timbalan Perdana Menteri pun tidak pernah mereka sebut?
Berbanding 53 kerusiitu, apakah DAP lebih merbahaya berbanding Jho Low seorang diri yang terbukti lebih banyak membawa kerosakan dan huru-hara kepada negara?
Jadi, apakah yang Nik Abduh bimbang sangat dengan DAP atau mungkin bukan Melayu menguasai negara ini jika Pakatan Harapan dapat menumbangkan UMNO dan BN, selain menjadi juru bicara yang mahu melihat Najib, UMNO dan BN terus berkuasa?
Berbaik dengan UMNO rupa-rupanya tidak saja menjadikan Nik Abduh dapat kerap muncul dalam Utusan, malah barangkali kejayaan paling besar buat UMNO ialah menjadikan pemikiran beliau lebih UMNO daripada UMNO. (ShahbudinHusin 07/05/2017).
Posted by AMIR Wartawan Rasmi LR
No comments:
Post a Comment