'Sekarang bulan dah duduk atas dacing'
Penyanyi Datuk Zainal Abidin mendedahkan, suatu ketika dulu pernah lagu popular nyanyiannya, Hijau, kurang disenangi sebuah parti politik.
Katanya, antara faktor menyebabkan lagu Hijau yang diterbitkan pada 1991 itu tidak digemari mungkin disebabkan terdapat dialek Kelantan pada liriknya.
“Lagu Hijau saya pernah tidak disukai oleh parti politik berlambang bulan. Tetapi bulan itu sekarang sudah duduk di atas dacing,” katanya dengan nada berseloroh.
Itu adalah antara lawak ditonjolkan Zainal di depan kira-kira 100 penonton yang hadir di Konsert Double Trouble Muzik dan Komedi yang diadakan Comedy Planet, Kuala Lumpur, kelmarin.
Di konsert itu, buat pertama kali Zainal berkongsi pentas dengan pengarah, pelakon dan pelawak Afdlin Shauki yang juga pemilik Comedy Planet.
Namun, bahan jenaka tadi hanya sekadar perkongsian. Malah Zainal turut menegaskan lawak itu tidak pula mengandungi unsur-unsur politik.
Sebagai pengusaha restoran yang membawa tema komedi, Afdlin mengambil langkah bijak dengan menjemput Zainal untuk turut mewarnai persembahan pada malam itu.
Comedy Planet biasanya menghidangkan persembahan komedi daripada pelawak profesional dan amatur dari seluruh negara.
Pada malam itu nampak benar keserasian antara Afdlin dan Zainal dan ia tidak dibuat-buat. Lebih memeriahkan suasana, lawak dipersembahkan itu pula tidak hambar.
“Saya berada di sini kerana adik saya (Afdlin),” kata Zainal menggambarkan keakraban mereka yang bagaikan saudara kandung.
Disebabkan faktor itulah, terdapat peminat yang sanggup datang dari jauh seperti dari Singapura untuk menyaksikan ‘penangan’ Zainal dan Afdlin.
Zainal tidak ketinggalan untuk tampil membawa lagu Hanya Di Radio yang pernah popular semasa dia bersama kumpulan Headwind.
Sebenarnya ada kisah di sebalik pembabitan Zainal pada malam itu.
Cabar berbalas pantun
Katanya, Afdlin menghubungi isterinya untuk mempelawa menjadi penghibur di Comedy Planet pada 29 dan 30 April tetapi pelakon filem Soal Hati itu tidak berani bertanyakan harga perlu dibayar.
“Saya beritahu dia (Afdlin), ini bukan tentang wang. Saya lakukan ini kerana cinta saya kepada pentas dan kerana banyak yang saya boleh pelajari daripada dia,” katanya.
Mengakui bukan pelawak, Zainal memberitahu, Afdlin berjaya ‘mempersendakan’ dirinya dan dia melakukan persembahan itu dengan ikhlas.
Menghampiri usia 60 tahun, Zainal kelihatan kekal bertenaga untuk bersama Afdlin menghiburkan penonton dengan pelbagai jenaka spontan.
Sesekali mereka menyanyi seperti lagi Can Mali Can dan Suriram dengan diselitkan sebagai perencah kepada aksi mereka berdua.
Riuh gamat dibuatnya apabila Zainal tiba-tiba menjemput beberapa penonton wanita dan lelaki naik ke pentas.
Antaranya, mereka dicabar untuk berbalas pantun mengikut irama lagu kanak-kanak tadi serta menyanyikan beberapa petikan lagu dari filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Selain melawak dan menyanyi, Zainal dan Afdlin turut mengimbau kenangan berkongsi pentas untuk konsert Ikhlas Tapi Jauh di Stadium Negara, pada 1992.
“Inilah lagu yang berjaya merapatkan kami berdua,” kata Zainal, sebelum berduet bersama Afdlin.
Sebelum dikenali sebagai artis serba boleh Afdlin terlebih dulu menapak dalam dunia seni sebagai penyanyi di awal 1990-an.
“Afdlin balik dari sekolah, datang ke studio dan belajar menyanyi…(masa itu) saya tak tahu dia nak jadi apa, saya tak tahu dia nak buat apa…,” kata Zainal.
Bagi Afdlin, perasaan sama mengenai Zainal turut lahir. Dia juga menganggapnya seperti seorang abang.
“Apabila saya memulakan karier, kamulah (Zainal) orang yang saya sentiasa rujuk, walaupun kamu tidaklah tinggi mana,” katanya dengan nada bergurau.
Menurut Afdlin, Zainal banyak memberikan inspirasi kepadanya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian.
“Apabila saya kena buli, abang ni (Zainal) yang jaga.
“Ini single pertama saya dan satu-satunya single saya,” kata Afdlin yang pernah muncul dengan album solo pada tahun 2003.
Antara lagu dipersembahkan pada Konsert Double Trouble Muzik dan Komedi itu adalah Superstitious, nyanyian asal Stevie Wonder, Telaga, Aku Lelaki dari album Afdlin, FUUYO! dan Kau Di Hatiku.
Persembahan yang turut diiringi kumpulan yang pernah menjadi pemuzik jalanan, Kami Jadi Band itu selesai kira-kira menjelang tengah malam.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment