Biasiswa hak rakyat, bukan untuk mengampu BN
Pada
oleh RoketKini
KUALA LUMPUR, 3 MEI: Biasiswa yang diberikan kepada pelajar cemerlang bukanlah untuk melahirkan graduan yang mengampu atau menyokong UMNO-Barisan Nasional (BN), kata Pengarah Pendidikan Politik Sosialis Muda DAP (DAPSY) Subang, Farhan Haziq.
Ia sebaliknya bagi meningkatkan kualiti modal insan tanpa mengira ideologi politik kepartian, tambahnya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Zainal Rahim Seman yang dipetik sebagai berkata kerajaan berhak membatalkan biasiswa kepada mana-mana penerima jika secara terbuka mengkritik kerajaan.
“Amatlah malang bagi seorang Ketua Pengarah JPA yang hanya melihat biasiswa JPA sekadar ganjaran untuk penyokong kerajaan dan sesiapa yang mengkritik, akan diambil tindakan.
“(UMNO-BN) Selaku kerajaan, sewajarnya mereka menggalakkan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa kerana ia merupakan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa kini yang kekurangan daya pemikiran kritis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Farhan berpandangan kerajaan seharusnya mendengar kritikan mahasiswa terhadap cara kerajaan mentabir urus negara dan bukannya menghukum dan mengugut mereka.
“Dunia sudah berubah jika benar kerajaan serius mahu membangunkan negara, mahasiswa harus dibenarkan memainkan peranannya dalam sistem politik negara dan bukan diperam kebolehan mereka di mahligai universiti.
“Mahasiswa mesti dibenarkan untuk berpartisipasi dengan dunia luar dan realiti politik semasa,” ujarnya.
Beliau turut memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican seperti dilaporkan media dua tahun lalu bahawa graduan masa kini kekurangan daya berfikir secara kritis dan kurang ciri-ciri kepimpinan.
“Beliau turut menyatakan kebanyakan graduan tidak mahu bersuara sekiranya melihat sesuatu yang tidak betul berlaku dan perkara ini yang cuba diselesaikan melalui Blueprint Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya.
Katanya, kenyataan Ketua Pengarah JPA berkenaan sekaligus membantukan usaha dan peranan TalentCorp bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan graduan yang mampu berfikir secara kritis.
“Pembudayaan berfikir secara kritikal ini perlu berlaku secara semulajadi dan kerajaan harus menyediakan ruang yang kondusif untuk mahasiswa ini mengutarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bimbang mengenai duit poket mereka.
“Apatah lagi dengan ugutan sebegini yang bakal menyebabkan mereka kehilangan sumber untuk meneruskan pengajian di institusi pendidikan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengecam kenyataan berkenaan yang menurutnya akan memberi impak negatif terhadap penerima biasiswa JPA yang berjumlah 37,362 setakat 2015.
“Mereka ini perlu dipertahankan dan bukan dizalimi akibat pengamalan politik sempit dan kepartian.
“Saya juga menuntut agar wakil pemuda Barisan Nasional untuk menyatakan pendirian mereka dalam isu ini dan tidak hanya berdiam diri mengikut kepentingan politik peribadi mereka,” katanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment