Demonstrasi bantah SPR enggan edar RDPT hari ini
Demonstrasi membantah keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengedarkan salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku tahun kepada parti politik akan berlangsung di Putrajaya hari ini.
Dijangkakan bermula 11 pagi di Pejabat SPR, himpunan anjuran Pemuda Pakatan Harapan dengan sokongan NGO dan mahasiswa itu menggesa supaya akses kepada senarai pemilih terkini diedar bagi mengelak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dimanipulasi.
Salinan RDPT dianggap penting kepada parti politik sebagai sumber rujukan untuk proses semakan bakal pengundi bagi mengelak kes pengundi meragukan.
Sebelum ini, SPR mengedarkan RDPT kepada parti politik dan pihak yang berkepentingan bagi memaklumkan urusan semakan sedang dijalankan.
Bagaimanapun, Mesyuarat SPR ke-773 pada 28 Mac lalu telah memutuskan agar RDPT dalam bentuk buku dan cakera padat tidak lagi diedarkan kepada parti-parti politik mulai Pameran RDPT Suku Tahun Pertama 2017.
Sehubungan itu, Pakatan Harapan dan masyarakat sivil bimbang keputusan menghentikan pengedaran senarai RDPT sebagai helah politik bagi membantu Umno-BN terus mengekalkan kuasa.
Mengulas penganjuran demonstrasi hari ini, Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan itu penting sebagai usaha menuntut PRU14 dilaksanakan secara bersih dan adil.
"Kalau bukan hari ini kita tidak lantang melawan sikap SPR yang tidak melancarkan proses pilihan raya, selepas mengundi nanti baru hendak bersuara tidak banyak gunanya lagi.
"Oleh itu, semua rakyat yang sedar tentang hak mereka dan tidak mahu PRU14 berjalan kotor perlu bangkit menuntut senarai RDPT diedarkan," tegasnya.
Beliau berkata, sikap SPR yang menghadkan proses semak dan imbang terhadap senarai pengundi jelas menyukarkan Pakatan Harapan.
"Sebaliknya, SPR telah memberi ruang yang luas kepada Barisan Nasional memanipulasi senarai tersebut sekaligus memberikan keuntungan politik kepada parti pemerintah.
"Saya berpendirian tentangan dan gesaan harus dihala semaksimum mungkin sebelum PRU-14 membuka tirai. Jika telah berlangsung dan BN menang besar dengan kecurangan itu, bantahan ketika itu sudah jadi akademik, sepertimana yang berlaku pada PRU-13 lepas. Ayuh! Turun dan bantah," tegasnya dihubungi Malaysia Dateline.
Untuk rekod, Laporan Tribunal Rakyat Tentang Pilihan Raya ke-13 yang dibentangkan kepada awam pada 25 Mac 2014 antara lain mendapati pelbagai penyelewengan dan perkara meragukan seperti pengundi didaftarkan tanpa pengetahuan mereka.
"Justeru sukar dipercayai bahawa ia tidak melibatkan persekongkolan dengan pegawai SPR," dipetik dari laporan tribunal yang diberi secara rasmi kepada Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.
Tribunal berkenaan juga mendedahkan tiga isu besar berkaitan Daftar Pemilih iaitu pertambahan mendadak jumlah pengundi berdaftar di semua negeri kecuali Negeri Sembilan; pertambahan pengundi yang lebih besar di kawasan luar bandar dan pinggir bandar serta kemungkinan salah guna undi pos dan undi awal.
Dalam hal berkaitan, semakan RDPT Suku Tahunan Keempat 2016 yang dibekalkan SPR memudahkan penemuan senarai pemilih meragukan.
Naib Ketua Pemuda Amanah Johor, Mohd Azam Mektar memberitahu, semakan pada RDPT pada akhir tahun lalu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Permas mendapati seramai 18 pengundi berdaftar berkongsi alamat pejabat Menteri Besar Johor.
"Dengan dibekalkan CD, kita lihat alamat yang sama didapati didiami sejumlah nama yang dilihat seolah-olah tidak mempunyai kaitan di rumah yang didiami menteri besar," ujarnya baru-baru ini.
Penjelasan lanjut Azam mengenai proses semakan RDPT dan keengganan SPR membekalkan senarai tersebut mulai tahun ini boleh diikuti dengan melayari laman perkongsian video, Youtube bertajuk, "Copy of CD file Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) membantu".
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilapor akhbar Suara Keadilan baru-baru ini memberitahu seramai 118,775 pengundi pada tahun lalu sudah dipindahkan kawasan Dun manakala lebih 40,000 melibatkan pemindahan kawasan Parlimen walaupun alamat mereka tidak berubah dengan alasan pembetulan lokaliti.
No comments:
Post a Comment