Amanah Jerai kumpul hampir 2,000 ahli
Meskipun semakin banyak dakyah yang dilemparkan terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) oleh pihak musuh, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat masyarakat untuk memilih parti baharu ini sebagai wadah perjuangan mereka.
Ini terbukti apabila Amanah kawasan Jerai, Kedah telah berjaya mendaftar lebih 1,800 ahli setakat ini.
Menurut Ketua Pemuda Amanah Jerai, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad, sokongan yang semakin bercambah terhadap Amanah berlaku selepas Pas memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan serta semakin mesra dengan Umno yang terbukti banyak melakukan kebatilan dalam urus tadbir negara.
"Sejak kebelakangan ini pergerakan Amanah semakin mendapat tempat di hati penduduk termasuklah di kawasan Parlimen Jerai yang dikuasai oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
"Ramai yang mulai menerima Amanah secara diam dan terdapat juga di kalangan mereka yang berani mengisytiharkan diri sebagai ahli Amanah.
"Dahulu kita terpaksa mencari ahli untuk menyertai Amanah, namun begitu kini ramai yang menghubungi sekretariat Amanah untuk mendaftarkan diri," katanya.
Penyertaan terbaru kata Ridzwan adalah seramai 20 lagi ahli baharu dari Kampung Kuala Sungai Yan, kelmarin.
"Kebanyakan yang baru menyertai Amanah dalam majlis penyerahan borang tersebut adalah mereka yang sebelum ini menyokong Pas dan Umno.
"Namun begitu setelah menyedari nasib mereka semakin tertekan dengan pelbagai kerosakan yang berlaku hasil pentadbiran Umno dan BN, maka mereka berubah kepada Amanah.
"Lebih perit lagi ramai antara mereka adalah golongan nelayan yang tidak dibela oleh kerajaan negeri maupun kerajaan pusat," tegasnya lagi.
Tambah beliau lagi, terdapat ramai lagi penyokong Umno dan Pas yang akan turut serta mendaftar sebagai ahli Amanah dalam tempoh terdekat.
"Saya optimis sokongan yang semakin bertambah yang diterima oleh Amanah setakat ini membuktikan ia akan memberi tamparan hebat kepada Umno dan Pas dalam pilihan raya umum yang akan datang.
"Kepimpinan Pas perlu sedar agenda Umno adalah untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang.
"Mereka seharusnya lebih lama dan bijak menilai serta menyedari strategi jahat Umno tersebut," katanya.
Beliau juga berkata, kepimpinan Umno tatkala ini sedang nazak dan hampir rebah, sebaliknya Pas pula cuba menghulurkan tangan bagi menyambung hayat mereka menjelang pilihan raya umum ke-14 tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment